Piala Thomas: Tewaskan Jepun, Malaysia Mara Ke Separuh Akhir

SUKAN
May 03, 2024 - 10:58 AM


Skuad badminton lelaki negara berjaya menempah tiket ke separuh akhir apabila menjaya menundukkan Jepun 3-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Chengdu, China. 

Berlangsung di Pusat Sukan Hi-Tech Zone, Malaysia memulakan aksi suku akhir dengan langkah kanan apabila jaguh perseorangan, Lee Zii Jia meletakkan pasukan negara 1-0 di depan selepas mudah menewaskan Kenta Nishimoto 21-13, 21-3. 

Bagaimanapun, rentak kemenangan itu gagal diteruskan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tewas 21-18, 14-21, 19-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sekali gus membolehkan Jepun menyamakan kedudukan 1-1.

Leong Jun Hao yang turun selaku perseorangan kedua kembali meletakkan Malaysia 2-1 di depan selepas menampilkan aksi cukup meyakinkan ketika membenam Koki Watanabe dengan keputusan straight set 21-13, 21-10. 

Kemenangan Malaysia hadir apabila pasangan lelaki nombor dua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei menundukkan Akira Koga-Taichi Saito dalam aksi yang berlanjutan ke set penentuan 18-21, 21-15, 21-12. 

Lebih manis, kemenangan Izzuddin-Sze Fei itu menyaksikan mereka berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan Koga-Saito selepas tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum ini. 

Kemaraan ke separuh akhir menyaksikan Malaysia berjaya menamatkan kemarau lapan tahun untuk mara ke separuh akhir sejak kali terakhir pada edisi 2016 di Kunshan, China.

Kali terakhir skuad negara menjuarai Piala Thomas adalah pada tahun 1992 di Kuala Lumpur. Di separuh akhir nanti, Malaysia bakal bertembung dengan China yang menewaskan India 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Destination: