"Esok Dah Raya!" - Checklist Yang Korang Kena Buat Setiap Kali Hari Raya

GAYA HIDUP
June 28, 2023 - 02:15 PM


Tak sabar rasanya nak bercuti sempena raya ni sebab esok bersamaan 10 Zulhijjah umat Islam bakal menyambut hari paling bermakna dalam kalendar Islam iaitu Hari Raya Aidiladha.

Selepas lakukan amalan-amalan sunat 10 hari sebelum Aidiladha semestinya kita nak pulang menyambut raya bersama keluarga, bukan? Barulah rasa nikmat-nya.

Tapi sebelum balik beraya tu pastikan korang check dahulu apa yang belum lengkap sebelum korang gerak. Risau raya ni menjadi suram atau korang menangis bucu katil sebab tak siapkan awal-awal perkara yang patut dibuat.

Min ingatkan balik kepada korang dan bagi checklist supaya bila dah sampai ke kampung korang tak perlu sakit kepala dan ceria sepanjang beraya.

Baju Raya

Disunatkan kaum Muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada Hari Raya. Menurut Imam Syafie: 

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) serta tempat diadakan majlis. Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian" (Kitab Al-Umm, Imam al-Syafie)

Tapi zaman sekarang ni ramai yang salah faham dengan pemakaian baju raya ni. Tak semestinya kena ada baju baru bila tiba Hari Raya. Cukup dengan memakai kembali baju-baju raya yang dulu dan terbaik yang kita ada. 

Namun tabiat shopping sebelum Hari Raya ni dah menjadi satu budaya dalam kalangan orang Malaysia. Tak salah kalau nak beli belah asalkan tidak membazir, tau?

Kuih Raya

Bila pulang ke kampung selalunya kita mesti bawa sedikit buah tangan dan yang paling sesuai sudah tentu kuih atau biskut raya. Rasa macam tak kena pula bila balik ke kampung dengan tak kosong, kan?

Ada macam-macam jenis kuih raya yang kita boleh beli seperti almond london, semperit, kuih makmur, nutella pods atau kuih kapit berinti. Kalau ikutkan harga sekarang sebalang kuih yang kecil tu dalam RM25. Rasa macam mahal pula-kan tapi itulah harga yang biasa kita dapat di tempat-tempat lain juga.

Alang-alang nak bawa balik ke kampung untuk bagi orang makan ni, beli saja 4 balang. Cukupkan RM100.

Duit Raya

Yang ini terpulang pada korang dan ikut kemampuan masing-masing. Bagi yang bekerja dan bergaji sedikit besar dari orang lain, mungkin bajetnya untuk duit raya lebih sikit.

Kena senaraikan dulu semua saudara mara yang untuk menerima duit raya terutamanya sepupu-sepupu yang masih kecil atau yang masih belajar. Kalau ada 10 sepupu yang layak, 10 orang tu lah kita kena bagi duit raya.

Jangan dilupakan kedua-dua atok dan nenek, ibu ayah dan anak-anak buah sekali, tau. Itu sebenarnya yang patut didahulukan sebelum saudara mara lain. Tapi kena prepare juga untuk budak-budak kampung yang datang beraya ke rumah nanti.

Balik Kampung

Kalau persiapan di atas ni dah lengkap, tiba masa untuk kita balik ke kampung! Tapi travel balik ke kampung dah tak murah sekarang. Dengan kos kenaikan tambang bas dan kereta api, minyak dan tol buat kita rasa terbeban. 

Kalau pulang ke kampung nak kena buat simpanan dan bajet untuk balik pun kena naikkan sikit berbanding dulu. Untuk yang solo macam min, korang dinasihatkan carpool untuk jimatkan kos perjalanan korang. Kalau balik bertiga, kongsi segala perbelanjaan pergi dan balik. Kan lebih jimat begitu.

Makan Minum Dalam Perjalanan

Bila dah buat roadtrip, mustahil-lah kalau tak beli air atau kudap-kudap untuk dimakan sepanjang perjalanan supaya hilang bosan dan mengantuk. Mungkin ada beberapa kali kita akan singgah ke tempat rehat dan rawat (RnR) sebelum tiba ke destinasi.

Kalau dalam perjalanan tu ternampak orang tengah bakar lemang, mestilah kena beli beberapa batang. Tak mungkin kita tengok saja.

Lain-Lain atau Miscellaneous

Inilah sebenarnya 'kos tersembunyi' bila balik ke kampung dan jarang orang ambil kisah. Bila tak ambil kisah, maka lupa jugalah untuk sediakan sedikit 'duit tepi'. 

Kena juga fikirkan kos kereta kot-kot ada masalah waktu di kampung nanti, duit sedekah, duit shopping last minute, nak beli songkok dan butang baju Melayu (kalau tertinggal di rumah) atau macam-macam lagi-lah. 

Kalau bercerita pasal duit dan perbelanjaan ni memang takkan habis. Ada saja benda yang perlu guna duit serta kita harus bersedia kerana ini semua dikira sebagai kos dan tak boleh ambil mudah.

Min ucapkan selamat bercuti buat semua dan selamat Hari Raya Aidiladha!

Sumber : SAYS