9 Rutin Harian Untuk Gaya Hidup Lebih Sihat

GAYA HIDUP
February 28, 2019 - 10:54 AM


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), gaya hidup sihat ialah suatu keadaan di mana fizikal, mental dan sosial seseorang yang sihat dan cergas serta bebas daripada sebarang penyakit. Gaya hidup sihat ialah kunci kehidupan yang sejahtera. Amalkan sembilan rutin harian yang mudah ini untuk menjamin kesejahteraan hidup yang berpanjangan.

#1- Flos Dua Kali Sehari

Amalan flos gigi bukan sahaja dapat mencegah pembiakan bakteria yang menyebabkan penyakit gusi, ia juga dapat mencegah bau mulut. Terdapat pelbagai jenis flos di pasaran.

Untuk yang baru bermula, boleh mulakan dengan flos bertangkai, berbentuk huruf F atau Y. Letakkan bersebelahan dengan berus gigi anda di bilik air. Selesai berus gigi, flos gigi anda. Hanya 30 saat, dua kali sehari dan ia mampu meningkatkan kebersihan mulut anda.

#2- Solat Sunat Sebelum Subuh

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya daripada Saiyidatina Aishah r.a., isteri Rasulullah SAW, bahawa Baginda telah bersabda:

“Solat dua rakaat (sebelum) solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isi buminya”.

Rasulullah SAW amat mengambil berat untuk menunaikan solat sunat Subuh daripada solat sunat yang lainnya. Istimewanya solat sunat Subuh dikaitkan dengan pahala yang besar dan gambaran yang menarik. Jika menunaikan solat sunat Subuh itu kebaikannya melebihi dunia dan segala isinya, apatah lagi solat fardu Subuh yang didirikan. Pasti ganjarannya lebih lagi.

#3- Baca Al-Mathurat Selepas Subuh Atau Asar

Himpunan zikir dan wirid yang ma’thur (diambil daipada al-Quran dan hadis) ini diambil daripada Nabi Muhammad SAW. Baca hanya lima minit namun terkandung enam ganjaran yang sangat besar di dalamnya.

Dimulakan dengan lafaz ta’awuz, iaitu memohon perlindungan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada gangguan syaitan yang direjam. Ada surah al-Fatihah, surah al-Baqarah dan ayatul Kursi, kalimah-kalimah agung yang besar fadhilatnya. Ada doa-doa memohon keselamatan dan dilindungi daipada sifat mazmumah dan juga bacaan selawat.

#4- Secawan Kopi Dan Secawan Teh Hijau

Kopi dan teh amat bagus untuk kesihatan jika diambil dalam kuantiti yang sederhana. Kandungan kafein dan tannin membantu untuk meningkatkan tenaga dan sumber antioksida.

Disarankan untuk minum satu cawan kopi dua hingga tiga jam selepas bangun tidur iaitu antara pukul 9.30-11.30 pagi dan satu cawan teh hijau di antara pukul 1.30- 4.00 petang untuk kesan yang maksimum.

#5- Berpagi Dengan Air Suam Dan Lemon

Semasa tidur, tubuh anda telah kehilangan air selama tujuh hingga sepuluh jam. Air suam yang dicampur dengan hirisan lemon membantu meningkatkan hidrasi. Lemon juga kaya dengan vitamin C yang berperanan dalam menyokong sistem imunisasi badan.

#6- Timbang Berat Anda Setiap Pagi

Dengan menimbang berat badan setiap hari, anda secara tidak langsung akan lebih prihatin tentang berat dan kesihatan anda. Rutin harian yang mudah ini didapati amat berkesan untuk membantu seseorang untuk lebih konsisten dengan pemakanan sihat, melawan ‘sugar craving’ iaitu keinginan yang kuat untuk makan makanan yang manis dan memilih gaya hidup yang lebih sihat.

Ingat, apa yang diukur, lebih mudah untuk diuruskan.

“What gets measured get managed”

7- Mod Sejuk Untuk 30 Saat Pertama

Ini ialah satu contoh ‘intentional discomfort’- ketidakselesaan yang disengajakan. Mandi di bawah pancuran air yang dipasang dalam mod sejuk selama 30 saat ini dikatakan dapat membantu seseorang dalam membina kekuatan dan daya tahan mental.

Tidak perlu berendam dalam ais selama 15 minit. Cukup 30 saat setiap pagi ketika mandi dan anda pasti akan berasa hebat.

#8- Ubah Muzik Kepada ‘Audiobook’ Ketika Memandu

Jadikan kenderaan anda universiti bergerak. Pasang ‘audiobook’ atau ‘podcast’ yang sarat dengan ilmu kehidupan untuk meningkatkan pembangunan diri anda. Anda boleh memilih hiburan atau pendidikan. Yang mana yang lebih menjanjikan keuntungan. Fikir-fikirkan.

#9- Padamkan Notifikasi Telefon

Ya, boleh saja untuk menatal skrin telefon anda. Namun, hati-hati. Jangan biarkan fokus anda terganggu dengan melihat agenda orang lain. Bimbang ia akan membawa kepada ketagihan. Anda akan mudah hilang fokus. Akibatnya sesuatu kerja menjadi tidak produktif. Tidak dinafikan, telefon pintar dapat meningkatkan kualiti hidup. Walau bagaimanapun andalah yang mengawal penggunaannya.

Demikian sembilan rutin harian yang anda boleh ikuti untuk kesejahteraan hidup yang lebih baik.

You’ll never change your life until you change something you do daily. The secret of your success is found in your daily routine.John C Maxwell