Arab Saudi Bakal Sertai Pertandingan Miss Universe Buat Kali Pertama Dalam Sejarah

GAYA HIDUP
March 26, 2024 - 01:46 PM


Buat pertama kali dalam sejarah, Arab Saudi akan menyertai pertandingan kecantikan iaitu Miss Universe 2024 yang akan berlangsung di Mexico. 

Difahamkan, wakil Arab Saudi itu adalah seorang wanita yang bernama Rumy Alqahtani.

Dalam posting di Instagramnya, Rumy mengakui amat berbesar hati dan rasa terhormat kerana menjadi wanita pertama yang dapat mewakilkan Arab Saudi dalam Miss Universe 2024.

"Berbesar hati untuk menyertai Miss Universe 2024, Ini adalah penyertaan pertama Arab Saudi dalam pertandingan Miss Universe," katanya.

Menerusi akaun instagramnya, Rumy dilihat menunjukkan beberapa gambar 'terbuka' kepada warga Arab Saudi. Antaranya, gambar dimana Rumy menunjukkan dirinya memakai gaun tanpa lengan dan mengenakan selempang Miss Universe Arab Saudi.

Selain itu, terdapat juga gambar Rumy yang memakai mahkota seperti Miss Universe disamping memegang bendera Arab Saudi.

Sebagai info, Rumy Alqahtani sememangnya menjadi model terkemuka di Arab Saudi kerana sering bertanding dalam beberapa pertandingan kecantikan di seluruh dunia.

Penampilan terakhirnya di atas pentas ialah pada pertandingan ratu cantik Asia Miss & Mrs Global di Malaysia.

Berdasarkan sumber dari media negara itu, Rumy ada menjelaskan tentang cabaran yang dihadapinya dan maksud berkongsi budaya Saudi dengan dunia serta faktor dia menyertai pertandingan itu.

“Cabaran terbesar adalah representasi peribadi saya tentang seorang gadis Saudi (biasa) dan penampilannya, (dan penampilan) yang sesuai dengannya sebagai orang Saudi,” kata beliau.

Model berusia 27 tahun itu juga berkongsi mengenai peranannya sebagai duta budaya untuk negaranya dan berkata bahawa matlamat utamanya apabila mengambil bahagian dalam pertandingan global adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang Kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya.

“Sumbangan saya adalah untuk mempelajari budaya dunia dan memindahkan budaya dan warisan asli Saudi kepada dunia,” katanya.

Destination: