Bekas Ahli Wanna One, Seong Wu Bakal Kejutkan Peminat Malaysia Dengan Persembahan ‘Rahsia’!



Berita baik untuk anda sebagai peminat tegar artis kumpulan Korea, Wanna One!

Salah seorang bekas anggotanya, Ong Seong Wu bakal membuat persembahan luar biasa menerusi acara jelajah “Ong Seong Wu First Fan Meeting in Malaysia <Eternity>” di Axiata Arena Bukit Jalil pada jam 6 petang esok.

Bintang berusia 23 tahun dari Incheon, Korea Selatan itu diterbangkan ke negara ini khusus bagi menghiburkan ribuan peminat setianya sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka.

Aura penyanyi kacak dan tinggi lampai ini sememangnya tidak dapat dinafikan apabila beliau berjaya membuatkan 5,000 peminatnya di Bangkok, Thailand ‘histeria’ pada minggu lepas dengan persembahan menakjubkan.

Namun, istimewa buat peminat di Kuala Lumpur, Seong Wu berjanji akan mendendangkan nyanyian dan tarian yang hebat serta bertenaga agar dapat dijadikan momen terindah untuk dikenang selama-lamanya di dalam hati mereka seperti mana tema jelajah ini yang dinamakan ‘Eternity’.

Lebih menarik apabila peminat yang membeli tiket berharga antara RM280 hingga RM580 berpeluang berada di atas pentas melakukan ‘high-five’ bersama bintang tersebut, menerima poster eksklusif yang ditandatangani beliau serta bergambar secara berkumpulan bersamanya.

Bercakap pada sidang media khas di sebuah hotel di ibu negara pada Jumaat, Seong Wu memaklumkan ini adalah kali ketiga dirinya menjejakkan kaki ke Malaysia.

Sebelum ini, beliau pernah ke Sabah untuk menjalani penggambaran bagi sebuah program realiti TV di Korea iaitu ‘Law Of The Jungle’.

Selepas Malaysia, Seong Wu akan bertemu dengan peminatnya di Singapura pada 6 April depan sebagai penutup siri jelajah Asia yang dibawa khas oleh sebuah syarikat produksi berpangkalan di Bangkok iaitu Hatchery.

Bagi korang yang mungkin sudah lupa, Kumpulan Wanna One menghimpunkan 11 anak muda berbakat sebagai projek khas yang kemudian melakar sejarah menjadi antara kumpulan popular Korea Selatan.

Namun, ia dibubarkan pada hujung tahun lalu mengikut kontrak perjanjian.