Di Indonesia, Luna Maya Lakukan Pembekuan Sel Telur. Tapi Apa Sebenarnya Hukum Dalam Islam, Boleh Ke Tak?

GAYA HIDUP
August 08, 2022 - 06:03 PM


Ketika ini tidak dinafikan ramai golongan wanita terutama yang berkerjaya masih belum bertemu jodoh dan hidup membujang. 

Mungkin disebabkan faktor terlalu memilih atau berhati-hati dalam mencari pasangan hidup, terlalu sibuk dengan kerjaya dan terlalu selesa hidup berdikari seorang diri menyebabkan ramai wanita kini masih berstatus 'single'.

Oleh itu, ada juga beberapa pihak yang mengeluarkan cadangan agar mereka membekukan ovum siap-siap untuk disimpan dahulu seiiring usia yang semakin bertambah.

Kemudian, apabila telah berjumpa pasangan untuk berkahwin -- barulah ovum berkenaan disenyawakan dan diteruskan proses-proses lainnya.

Malah, cadangan itu turut ditimbulkan selepas mereka khuatir dengan proses menopause atau putus haid dan mengalami masalah kesuburan sebelum berkahwin kerana faktor usia.

Seperti contoh di negara jiran Indonesia apabila pelakon popularnya, Luna Maya yang sudah menginjak usia 38 tahun dilaporkan mengaku telah mengambil keputusan untuk membekukan sel telurnya.

Bagaimanapun, apa sebenarnya hukum seorang wanita Islam membekukan ovum kerana lambat nikah?

Jom kita ikuti jawapan serta penjelasan yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berhubung hal ini.

RINGKASAN JAWAPAN 

Hukum mengeluarkan benih sebelum akad nikah untuk disenyawakan selepas berkahwin adalah HARAM.

Bahkan membekukan ovum kerana lambat berkahwin dengan sangkaan tidak subur pada masa hadapan adalah alasan yang tidak boleh diterima syarak kerana ia bukan dalam lingkungan pengetahuan kita sebagai manusia.

Justeru itu, hukum bekukan ovum atas alasan tersebut adalah haram.

APA ITU PEMBEKUAN OVUM? 

Oocyte cryopreservation adalah satu kaedah pembekuan dan penyimpanan telur (oosit, ovum, sel telur wanita) yang matang untuk kegunaan pada masa akan datang.

Telur atau oosit ini akan dikeluarkan daripada ovari dan disimpan di dalam cecair nitrogen (LN2) pada suhu yang rendah.

Kebiasaanya pembekuan telur ini dilakukan oleh pesakit kanser yang sudah berkahwin sebelum menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi.

Kemudian, oosit yang sama yang telah disimpan tadi digunakan untuk mendapatkan anak melalui Teknologi Bantuan Pembiakan atau Assisted Reproductive Technology (ART) dengan pasangannya.

PROSES PENGUMPULAN OVUM 

Oocyte pick-up (OPU) / pengambilan oosit merupakan proses mengeluarkan telur atau ovum dari organ persenyewaan wanita.

Pengeluaran oosit (oocyte retrieval) dari ovari hanya boleh dilakukan secara invasive iaitu dengan menggunakan kaedah stimulasi ovari untuk menghasilkan oosit yang banyak, kemudian oosit diekstrak daripada ovari menggunakan jarum dengan bantuan transvaginal ultrasound.

Prosedur ini dilakukan di dewan bedah dengan bius penuh (general anaesthesia).

Prosedur perolehan dan penyimpanan oosit hendaklah direkodkan dan disahkan oleh dua orang pengamal perubatan.

Prosedur ini juga yang digunakan semasa rawatan in-Vitro Fertilisation (IVF) untuk mengeluarkan telur daripada ovari isteri.

MENGELUARKAN OVUM SEBELUM AKAD NIKAH 

Mengeluarkan sperma bagi lelaki dan ovum bagi perempuan atau perbuatan meminta mengeluarkan air mani adalah sama maksudnya dengan istilah istimna’ (استمناء).

Istimna’ pada sudut bahasa menurut fuqaha ialah mengeluarkan mani dengan tapak tangan dan seumpamanya bukan dengan cara bersetubuh.

Pada sudut istilah, mengeluarkan air mani tanpa melalui proses bersetubuh, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri”.

Adapun istimna’ pula adalah keinginan (permintaan) untuk mengeluarkan air mani dalam keadaan sedar dengan apa cara sekalipun, dan ia berlaku dalam kalangan lelaki dan juga wanita.

Secara umumnya, mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang dan ditegah dalam Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah ‎SWT:

  (7) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ 

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

Surah al-Mu’minun (5-7)

Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengatakan haram kerana ia membawa kepada putusnya keturunan, maka ia diharamkan sepertimana liwat.

Walaupun kaedah mengeluarkan ovum yang dilakukan dengan suntikan sedutan ovum (oocyte retrieval) bukan dengan cara istimna’, namun ia berlaku sebelum wanita tersebut berkahwin kerana risau pada usia menopause tiada ovum yang boleh dihasilkan.

Hal ini kerana apa-apa kaedah mengeluarkan mani sebelum akad adalah dilarang melainkan mengeluarkan mani dalam tempoh perkahwinan.

Anak yang lahir daripada air mani seseorang lelaki yang keluar dalam tempoh perkahwinan, maka boleh dinasabkan anak kepada bapanya.

Oleh itu, hukum mengeluarkan air mani sebelum bernikah adalah haram berdasarkan pengharaman istimna’ (mengeluarkan air mani) bagi lelaki dan wanita yang bukan dalam tempoh perkahwinan.

Adapun, mengeluarkan ovum dengan kaedah suntikan adalah dilarang kerana “illah” sebelum akad perkahwinan.

Penentuan menasabkan anak juga mestilah dalam tempoh perkahwinan bagi tujuan menjaga keturunan (Hifz Nasl).

Justeru, hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudian dibuat persenyawaan dalam tempoh perkahwinan adalah haram.

MEMELIHARA KETURUNAN 

Pengharaman pengeluaran oosit sebelum berkahwin ini juga bertepatan dengan maqasid syariah dalam menjaga keturunan.

Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan. Parameter untuk menentukan pengesahan nasab anak yang lahir adalah berlaku persetubuhan dalam perkahwinan yang sah berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha Rasulullah SAW bersabda:

الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ

Maksudnya: Nasab anak kepada perkahwinan yang sah manakala bagi penzina itu hukuman rejam.

Riwayat al-Bukhari (6749)

Oleh yang demikian, menjaga keturunan adalah dengan cara melalui hubungan seksual yang halal setelah terlafaznya akad nikah.

SANGKAAN YANG BELUM BERLAKU

Alasan membekukan ovum kerana lambat kahwin dan risau akan mengalami menopaus adalah perkara sangkaan yang belum berlaku.

Dalam hal ini para ulama menjelaskan sesuatu syariat tidak boleh dibina di atas perkara sangkaan semata-mata. Antaranya Sheikh Ibn ‘Asyur menjelaskan:

فعلمنا أن البناء على الأوهام مرفوض في الشريعة إلا عند الضرورة، فقضينا بأن الأوهام غير صالحة لأن تكون مقاصد شرعية

Maksudnya:”Maka kita telah mengetahui bahawa syariat yang terbina dengan jalan sangkaan adalah ditolak dan tidak diterima melainkan dalam keadaan darurat, maka kita menghukumkan bahawa sangkaan itu tidak boleh dijadikan sebagai tujuan syarak (maqasid syariah).”

Oleh yang demikian, perkara sangkaan tidak boleh dijadikan hujah syarak mahupun alasan untuk membenarkan mengeluarkan ovum sebelum akad nikah.

FATWA BERKAITAN BENIH (OVUM / SPERMA)

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tahun 2003 dan 1981 berkaitan isu mencantumkan benih dan bank mani:

  1. Hukum mencantumkan benih
  • Hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya dibuat pencantuman dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah haram
  • Hukum mencantumkan benih yang diambil dan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah harus.[9]
  1. Berkenaan Bank Air Mani:
  • Mengadakan bank air mani adalah haram.
  • Sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya.
  • Permanian beradas yang dilakukan kepada manusia adalah haram kecuali jika air mani daripada suami didapati secara muhtaram/ terhormat (yang diluluskan oleh syarak), dibenarkan oleh Islam.
  • Penglibatan doktor pakar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan bank air mani adalah haram.

HARAM HUKUMNYA MEMBEKUKAN OVUM 

Oleh itu, tindakan mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang.

Sementara, hukum benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya akan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan adalah haram. 

Hal ini kerana menjaga keturunan adalah dengan cara melalui hubungan seksual yang halal setelah terlafaznya akad nikah.

Bahkan alasan lambat kahwin dengan menjangkakan pada masa hadapan yang bukan dalam kadar pengetahuan kita adalah alasan yang tidak boleh diterima oleh syarak. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Destination: