Ingatkan Boleh, Rupanya Berkhemah Di Pesisir Tasik Putrajaya Tidak Dibenarkan Ya Gais!

GAYA HIDUP
September 24, 2021 - 12:24 PM


Perhatian kepada mereka yang tinggal di Putrajaya atau yang gemar melakukan aktiviti riadah di tepi tasik Putrajaya!

Ini kerana sebenarnya sebarang aktiviti pemasangan khemah adalah TIDAK DIBENARKAN di sekitar kawasan pesisir tasik Putrajaya.

Bagaimanapun, jika anda ingin mendirikan tapak perkhemahan ianya hanya dibenarkan di Taman Wetland kerana di sana mempunyai kemudahan lengkap bagi aktiviti tersebut.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar terhadap peraturan itu.

"Aktiviti perkhemahan tidak dibenarkan di sepanjang tasik. Penguat kuasa PPj akan pastikan tiada pemasangan khemah oleh keluarga atau kumpulan tertentu di sepanjang tasik secara teguran.

"Sekiranya perkara ini tidak dapat dikawal, dari segi peruntukan kita boleh denda mana-mana individu atau kumpulan yang memasang khemah di tepian tasik atau kawasan awam," katanya kepada Bernama hari ini.

Susulan peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara bermula 10 Oktober lepas yang membenarkan rentas daerah di Lembah Klang -- Putrajaya 'diserbu' terutama pada hujung minggu untuk aktiviti riadah. Malah Putrajaya menjadi tular (viral) sebagai tempat tumpuan memasang khemah di tepian tasik.

Muhammad Azmi berkata tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memasang khemah dan meuar-uarkan aktiviti tersebut seolah-olah dibenarkan di pesisir tasik Putrajaya akan mengundang perkara yang tidak diingini seperti keselamatan, kebersihan, ketenteraman awam, kesesakan serta menjejaskan pergerakan aktiviti riadah lain seperti berjoging dan berbasikal.

"Kami mengalu-alukan orang ramai datang bersiar-siar serta menikmati keindahan tasik namun perlu diingatkan bahawa tepian tasik atau mana-mana tempat awam adalah untuk kegunaan semua orang dan bukannya diduduki sekelompok kumpulan atau keluarga tertentu kerana tindakan itu bukan sahaja menghalang pengunjung lain tetapi dikhuatiri menjejaskan kualiti air tasik," katanya.

Menyedari aktiviti perkhemahan makin digemari masyarakat, beliau berkata PPj sedang mengenal pasti tapak-tapak perkhemahan yang sesuai di Putrajaya untuk dikhususkan sebagai tempat aktiviti perkhemahan.

Sumber: BERNAMA

Destination: