Ini 7 Tip Keselamatan Jika Anda Bergelar ‘Ladies Traveller’!



Siapa yang tak suka untuk travel atau mengembara melihat keindahan negara orang, kan?

Tanpa mengira jantina, peringkat umur atau latar belakang, setiap orang pasti teruja untuk mengutip pengalaman kembara yang sangat berharga.

Walaubagaimanapun, mengembara sebagai seorang wanita pasti ada cabarannya yang tersendiri terutama dari segi keselamatan diri.

Tapi itu bukan bermakna ia adalah satu perkara yang mustahil untuk anda sebagai wanita mengembara secara solo atau bersendirian ke luar negara.

Asalkan sentiasa sematkan di minda ‘Safety First’, insyaAllah segalanya akan berjalan lancar.

Ini 7 tip keselamatan khas buat anda yang bergelar ‘Ladies Traveller’!

 

#1.  Berpakaian Seperti Penduduk Tempatan

Sebelum anda ke sesebuah negara tertentu, adalah lebih baik sekiranya anda belajar mengenai cara berpakaian dan sedikit budaya harian masyarakat tempatan di sana.

Mungkin jika masyarakatnya biasa menutup rambut, memakai lengan panjang atau pakaian longgar, maka anda juga digalakkan berpakaian sedemikian rupa.

Ia bagi mengelakkan anda menjadi tumpuan atau perhatian mata-mata yang tidak dikenali, jika anda berjalan bersendirian atau di tempat sunyi.

 

#2. Pakai Cincin Tipu Jika Anda Masih Solo

Bagi wanita yang belu berkahwin, adalah lebih elok jika anda sentiasa menyarungkan cincin di jari manis bagi mengelak diganggu oleh lelaki yang agak ‘mesra’ atau senang kata miang.

Mungkin tip ini kedengaran agak pelik, tapi cincin tersebut adalah sangat berguna untuk menunjukkan signal bahawa anda telah berpunya.

Tapi tak perlulah sampai pakai cincin yang bertakhtakan berlian atau emas 24Karat. Cincin biasa pun dah memadai.

Kalau nak cerita olok-olok anda dah berpunya lebih dipercayai, selit juga gambar ‘suami’ anda agar tidak diganggu lagi oleh si lelaki ‘hidung belang’!

 

#3. Penahan Pintu Elektronik

Walaupun kebanyakan bilik hotel dilengkapi dengan sistem penggera keselamatan di pintu, namun tidak ada salahnya jika anda melakukan usaha lebih lagi demi keselamatan diri.

Pastikan anda meletakkan penahan pintu elektronik sebagai alat keselamatan tambahan.

Maklumlah selepas seharian berjalan-jalan, pastinya anda memerlukan tidur yang lena dan sebab tu kadang-kala tak dengar kalau ada bunyi kuat yang berlaku.

Jadi diharap dengan adanya penggera keselamatan tambahan boleh mengejutkan anda sekiranya berlaku sebarang pencerobohan di dalam bilik.

 

#4. Jangan Dedah Maklumat Penginapan

Ini penting ya. Sila jaga maklumat privasi mengenai di mana lokasi anda menginap!

Jangan sesekali mendedahkan atau pergi gatal-gatal jari tu klik 'check-in' sana sini dalam media sosial anda.

Tiada orang luar yang perlu mengetahui nama hotel atau sebarang rancangan anda untuk berjumpa sesiapa pun di mana-mana lokasi yang ditetapkan.

 

#5. Simpan Nombor Kecemasan

Pastikan anda mengetahui dan sudah simpan nombor-nombor kecemasan dalam telefon pintar.

‘Favourites’ kan nombor-nombor penting tersebut agar jika anda berada dalam situasi panik, anda dapat bertindak cekap dan pantas untuk mendail bagi mendapatkan pertolongan.

 

#6. Bawa ‘Pepper Spray’

Ini barang wajib yang kena selalu ada dalam beg atau di poket anda.

Kalau rasa seperti diekori atau diganggu oleh orang yang tidak dikenali, bersedia genggam botol penyembur lada atau pemedih mata itu dan halakan tepat ke mata individu berkenaan.

Sekarang di pasaran pun dah banyak jual 'pepper spray' siap dengan laser lagi!

 

#7. Bercuti Bersama Rakan Wanita Lain

Sebagai kaum Hawa adalah lebih manis dan lebih selamat sekiranya kita berjalan-jalan ditemani oleh orang yang kita kenali.

Jadi, cari dan ajaklah rakan-rakan wanita lain untuk sama-sama mengembara demi keselamatan bersama.

Lagipun bukan ke lebih seronok kalau ada orang yang boleh tolong jagakan barangan kita sekiranya kita sedang sibuk meneroka sesebuah tempat ataupun tengah nak membeli-belah dan paling penting ada juga orang boleh tolong ambilkan gambar 'OOTD' kita untuk upload dalam Instagram. Hehehe....