Jika Berjaya, Stylus Terbaru Apple Ini Bakal Boleh Digunakan Di Pelbagai Permukaan Termasuk Melukis Atas Angin!

GAYA HIDUP
February 07, 2018 - 03:24 PM


Syarikat Apple baru-baru ini telah memfailkan patern untuk stylus mereka yang boleh berfungsi di atas apa sahaja permukaan termasuklah melukis di atas angin!

Menerusi patern tersebut, Apple mendedahkan yang stylus mereka akan berfungsi berdasarkan sensor tekanan yang terdapat pada muncung pen ataupun dikesan melalui pergerakan dan sensor orientasi, sebuah kamera atau skema elektromagnetik mahupun berdasarkan bunyi.

Kedengaran agak rumit, namun dalam bahasa mudahnya, komputer kita mampu mengesan pergerakan stylus tersebut dengan teknologi tanpa wayar dan daripada pelbagai posisi untuk menentukan lokasi stylus tersebut dalam ruang 3 dimensi.

Pen tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan penulisan dan lukisan 3D.  Sebagai contoh, sekiranya kita melukis silinder 3D di atas angin, maka lukisan yang terhasil di skrin komputer adalah dalam bentuk 3D dan ia akan muncul semasa anda melukis.

Secara tidak langsung, anda tidak lagi melukis dalam bentuk 2D tetapi 3D. Konsep melukis di atas angin ini tidak ubah seperti 3Doodler versi digital. Iaitu, sebatang pen yang mampu melukis bentuk dalam 3 dimensi.

Paten tersebut pada awalnya telah difailkan pada Julai 2016 namun diterbitkan pada akhir Januari tahun lalu.

Inilah kali pertama kita melihat konsep untuk stylus yang berpotensi melukis secara digital tanpa permukaan. Walau bagaimanapun, ini hanyalah keterangan paten, dan tidak ada petunjuk tentang atau bila Apple sebenarnya boleh menghasilkan atau mengeluarkan produk seperti ini.

 

Sumber : The Verge