"Pakai Lebih 3 Kali Tak Boleh Jadi Wali, Saksi Nikah" - Ramai Lelaki Ambil Mudah Larangan Pakai Seluar Pendek Atas Lutut

GAYA HIDUP
September 20, 2023 - 05:17 PM


Tidak seperti kaum Hawa yang wajib menutup keseluruhan tubuh kecuali wajah dan dua tapak tangan -- aurat bagi golongan lelaki hanya bermula dari bahagian pusat sehingga lutut.

Bagaimanapun, kewajipan menutup aurat ini seolah-olah diambil ringan kerana masih ramai lagi lelaki yang memakai seluar pendek di atas paras lutut.

Justeru, timbul persoalan yang mengatakan sekiranya kaum lelaki memakai seluar pendek di atas paras lutut lebih daripada tiga kali, maka dia dianggap fasik dan tidak layak menjadi wali.

Persoalan ini dihuraikan dengan tuntas oleh seorang pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menerusi satu siri ceramahnya.

"Pakai seluar pendek, kata ulama, umpamanya dalam kitab Sullamut Taufiq, yang dikarang oleh Syeikh Nawawi Al-Bantani.

"Katanya, mendedahkan aurat bagi orang lelaki, sekali itu tidak fasik... tiga kali, jadi fasik kalau pakai seluar pendek. Namun dosa besar seperti meminum arak, sekali minum jadi fasik dah.

"Orang lelaki yang main bola, pakai seluar pendek lebih daripada tiga kali di khalayak, dia tak boleh jadi wali nikah, tidak boleh jadi saksi nikah, tidak boleh jadi saksi melihat anak bulan, tak boleh jadi saksi hudud... berhutang jual beli sebagainya," hurainya.

Sementara itu, persoalan yang sama turut dihuraikan oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di dalam Maktabahalbakri.

Menurut beliau, secara asasnya, mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan bahawa antara pusat dan lutut itu adalah aurat.

"Hal ini berdasarkan teguran Nabi SAW kepada Jarhad ketika mana pahanya terselak di dalam solat. Kata Nabi SAW 'tutuplah pahamu kerana paha itu aurat'.

"Jadi, dengan melanggar hal ini dipanggil sebagai fasik. Ia tidak semestinya dua kali atau tiga kali," hurainya.

Bagaimanapun, sebagai hamba-Nya, semestinya kita tidak dapat lari daripada terkhilaf.

"Kerja kita adalah sentiasa bertaubat. Di dalam Islam ini, apa yang paling pentingnya adalah sentiasa kembali kepada Allah SWT dan memperbanyakkan beristighfar," terang beliau lagi.

Destination: