Pemakanan Punca Anxiety? Ini Dia 5 Makanan Yang Perlu Dielak

GAYA HIDUP
October 26, 2023 - 05:39 PM


Anxiety atau keresahan merupakan salah satu penyakit emosi yang kerap berlaku dan boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Kebiasaannya, perasaan resah merupakan tindakbalas semulajadi manusia apabila berhadapan dengan tekanan atau stres.

Jika anda tiba-tiba rasa gelisah, atau rasa berdebar dengan jantung berdegup kencang, anda berkemungkinan mengalami masalah keresahan. Jika ianya berlaku secara sementara, anda tidak perlu risau kerana ia merupakan perkara yang normal.

Namun, jika perasaan ini menjadi semakin melampau dan berlaku melebihi tempoh enam bulan sehingga mengganggu aktiviti harian, anda mungkin menghidap penyakit keresahan melampau atau anxiety disorder.

Tahukah anda masalah anxiety juga boleh berpunca dari pemakanan seharian? Ini dia 5 makanan yang boleh mencetuskan kegelisahan.

5 Makanan Yang Boleh Cetus Kegelisahan

1. Kafein

Untuk pengetahuan, kopi mungkin dalang sebenar di sebalik kegelisahan yang anda alami. Kopi merupakan sejenis stimulan. Malah, bagi penghidap anxiety, kopi mungkin mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Jadi elakkan atau kurangkan minuman kopi ya!

2. Gula

Siapa je yang tak suka benda manis? Boleh dikatakan ramai orang suka lagi-lagi dessert. Tetapi perlulah berpada-pada. Menurut pakar, makanan atau minuman yang manis akan meningkatkan kadar gula dalam darah. Akibatnya, anda akan jadi makin resah dan gelisah.

Jika boleh, jauhkan diri daripada makanan bergula, ya. Bukannya tidak boleh, tapi simpan makanan manis untuk acara yang istimewa sahaja ya!

3. Makanan segera atau daging yang diproses

Haa, yang ni memang favourite ramai tetapi tahukah anda daging yang diproses dan makanan segera seperti pizza, sosej, kentang goreng, gula-gula dan makanan bergoreng merupakan antara punca inflamasi. Jika diambil terlalu banyak, ia boleh menyebabkan kegelisahan dan membuatkan mood anda terganggu.

Jika boleh, ambil makanan yang sihat tau!

4. Ubat-ubatan tertentu

Memang ada beberapa jenis ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan tertentu. Malah, ada antaranya yang akan mencetuskan simptom kegelisahan atau serangan panik. Antara jenis ubat yang mempunyai kesan sampingan sebegini ialah ubat-ubatan tiroid dan asma.

Jika anda mengambil ubat untuk merawat kegelisahan contohnya benzodiazepines, pastikan anda mengambilnya mengikut arahan doktor. Jangan berhenti secara tiba-tiba tau kerana ia akan menyebabkan keresahan anda menjadi semakin serius.

5. Minuman beralkohol

Selalu kita tengok dalam drama atau movie Korea atau Mat Salleh, orang yang stress mesti minum arak tetapi hakikatnya minuman beralkohol tidak akan menghilangkan masalah,  ia hanya akan membuatkan peminum menjadi semakin resah.

Menurut pakar, minuman ini mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan. Selain itu, ia akan menyebabkan dehidrasi dan akan mencetuskan pelbagai simptom kegelisahan. Untuk non-muslim, ambil minuman ini secara sederhana.

 

Sumber: Hello Doktor

Destination: