Perkongsian Ini Bakal Membuat Anda Berfikir Semula Sebelum Beli Kereta Baru




Tengok kawan kiri kanan, semua dah ‘keluar’ kereta baru, kita pulak, masih setia dengan motorsikal lama. Start masa ni lah akan ada bisik-bisik nakal supaya korang pun beli sebuah kereta baru. Korang pun, disebabkan rasa nak turut serta, beli jugak kereta. Lepastu, menyseal tak sudah.

Ingat, pepatah ada mengatakan ‘ukur baju di badan sendiri’. Perbelanjaan kita, komitmen kita belum tentu sama dengan kawan-kawan yang keluar kereta baru tu. Kalau betul-betul mampu teruskan, kalau tak, pakai ajelah motorsikal dahulu, selagi dia boleh jalan dan masih elok.

Kalau korang nak berdegil jugak, baca perkongsian ni dulu okay…

Ini antara kos bagi memiliki sebuah kereta:

 

Bayaran ansuran bulanan

Majoriti pembeli kereta akan membuat pinjaman bank. Mungkin ada yang membeli secara tunai tapi tak ramai.

Sebelum buat pinjaman, fikirkan setiap bulan wang gaji perlu diperuntukkan untuk membayar hutang tersebut. Jika diikutkan pengurusan kewangan 30:10, 30% daripada gaji boleh diperuntukkan untuk bayaran hutang. Tapi, takkanlah nak gunakan sepenuhnya 30% untuk bayaran ansuran kereta sahaja kan?

Yang paling penting, ansuran bulanan itu haruslah tidak membebankan dan mampu dibayar.

Jika bayaran ansuran bulanan tertunggak, kereta boleh ditarik balik dan nama boleh disenarai hitam.

Walaupun kereta dilelong pihak bank, mungkin hasil lelongan tidak mampu menampung baki hutang yang masih ada.

Akibatnya, baki hutang masih perlu dijelaskan, nama telah disenaraihitamkan, rekod kredit menjadi tidak elok dan ini akan menyukarkan urusan permohonan pinjaman/pembiayaan yang lain.

 

Bayaran minyak petrol

Kereta bergerak bukan menggunakan air, tetapi minyak petrol.

Harga minyak pula bergantung kepada pasaran, ada masanya murah, ada masanya mahal.

Walaupun murah atau mahal, kos untuk minyak petrol tetap perlu dikeluarkan. Minyak kereta jarang orang isi dua ringgit, tak cukup! 

 

Cukai jalan & perlindungan insurans/takaful

Setiap tahun, cukai jalan dan perlindungan insurans/takaful perlu diperbaharui.

Semakin tinggi nilai kereta, semakin tinggi bayaran perlindungan insurans/takaful yang perlu dikeluarkan.

 

Kos Servis

Kereta mempunyai banyak komponen yang bergerak, jadi perlu diselenggara dengan berkala supaya dapat berfungsi dengan baik. Minima, setiap 6 bulan atau 2 kali setahun.

Semakin lasak dan kerap kereta diguna, semakin kerap penyelenggaraan yang perlu dibuat. Sudah tentu, kos pula sudah semestinya akan semakin tinggi.

Itu baru diambil kira penyelenggaraan asas seperti menukar minyak hitam, minyak gear, pencucuh api dan penapis minyak. Belum dicampur lagi kos-kos menukar barang-barang seperti bateri, tayar dansuspension. Belum juga dicampur lagi kos-kos membaiki kerosakan akibat kemalangan.

Tepuk dada tanya selera, mampukah kita? Jangan mahu hidup 'biar papa, asal bergaya' guys, bahana mungkin menanti di depan sana...