Sambo - Seni Pertahankan Diri Tanpa Senjata Dari Russia



Baru-baru ni, Khabib Nurmagomedov berjaya curi tumpuan seluruh dunia apabila berjaya tewaskan Conor McGregor. Apa yang menarik, kalau dikaji latar belakang Khabib ni, ada disebutkan yang dia adalah seorang juara dunia dan master dalam seni mempertahankan diri Sambo.

Hari ni, kitorang nak kongsikan apa sebenarnya Sambo dan apa sejarah di sebalik seni mempertahankan diri Sambo ni.

Apa Itu Sambo?

Sambo, atau ada yang disebut sebagai sombo ini adalah akronim bagi perkataan Russia iaitu SAMozashchita Bez Oruzhiya yang bermaksud, pertahankan diri tanpa senjata.

Sejarahnya, perkembangan atau kewujudan Sambo ini diperkenalkan pada tahun 1920 oleh tentera Soviet bagi memantapkan latihan tempur tanpa senjata mereka. Asalnya, Sambo ini nak digabungkan dengan seni pertahanan diri lain untuk dijadikan teknik yang paling efektif.

Pengasas Sambo adalah Viktor Spiridonov dan Vasili Oshchepkov. Kalau nak diikutkan cerita, diorang dua orang ni belajar seni pertahanan diri yang berlainan. Viktor dengan gusti dan Vasili belajar Judo di Jepun. Vasili dituduh sebagai pengitip pihak Jepun dan akhirnya mati di penjara. Namun dia sempat belajar Judo dari pengasas Judo sendiri iaitu Kano Jigoro.

Pada tahun 1938, Sambo ni dipercantikan lagi pergerakannya oleh Anatoly Kharlampiev, anak didik Vasili. Pada tahun 1938 jugaklah Sambo diterima sebagai sukan rasmi oleh pihak USSR.

Jenis - Jenis Sambo

Macam seni mempertahankan diri yang lain jugak, ada beberapa jenis Sambo wujud sejak terciptanya Sambo ni. Tapi, dalam banyak-banyak yang ada, hanya LIMA yang diketahui oleh orang ramai :

  • Combat Sambo

Combat Sambo ni yang diperkenalkan kepada tentera, jadi dalam combat sambo ada ajar cara untuk rampas senjata. Combat Sambo juga adalah jenis sambo yang menggunakan banyak teknik serangan dan pergelutan (grappling).

  • Freestyle Sambo

Sambo freestyle ini diperkenalkan pada tahun 2004 oleh persatuan Sambo Amerika untuk mengalakkan mereka yang tidak mempunyai Sambo (pengamal Judo dan Jiujitsu) untuk mengabil bahagian dalam acara berkaitan Sambo. Acara freestyle ini membenarkan mereka untuk gunakan teknik mencekik lawan dan juga gerakan untuk mendapatkan submission yang tidak dibenarkan dalam Sambo.

 

  • Self-Defense Sambo

Sambo untuk mempertahankan diri. Dalam jenis ini, pengamal akan diajar untuk mempertahankan diri daripada senjata dan pelbagai lagi serangan. Banyak gerakan dan cara diajar menggunakan tenaga pihak lawan terhadap pengamal Sambo seperti Aikido atau Jiujitsu.

 

  • Special Sambo

Teknik atau jenis sambo ini direka untuk unit khas tentera. Ia jenis yang sangat eksklusif dan hanya diajar mengikut keperluan dan kegunaan satu-satu unit dalam tentera berkenaan.

 

  • Sport Sambo

Boleh dikatakan sport Sambo ini adalah sama seperti Judo dari segi pergerakan jatuhan dan menghalang jatuhan dibuat oleh pihak lawan. Dalam pertandingan, semua pergerakan kuncian kaki adalah dibenarkan.

 

Mengenal Sambo

Pengamal sambo ni terkenal dengan tiga perkara : teknik jatuhan yang mempunyai kombinasi gusti dan jugo, skill untuk mengawal lawan di atas lantai dan kuncian kaki.

Bergantung kepada jenis sambo yang dipelajari, teknik serangan juga mungkin ada. Sebagai contoh dalam combat sambo. Namun, sambo ini lebih menekankan seni pergelutan yang memfokuskan untuk menjatuhkan dan menyebabkan lawan menyerah kalah atau tap-out.

 

Matlamat Pengamal Sambo

Bergantung pada jenis sambo yang dipelajari, namun sambo mengajar pengamal mereka untuk menghabiskan sesuatu perlawanan dengan cepat. Ini boleh dilakukan dengan menjatuhkan pihak lawan ke lantai dan mengaplikasi teknik untuk mendapatkan submission pihak lawan.

 

Antara Pengamal Sambo Di MMA

  1. Andrei Arlovski (UFC Heavyweight Champion)

  1. Aleksander Emelianenko (PRIDE Heavyweight Champion)
  2. Fedor Emelianenko
  3. Oleg Taktarov
  4. Khabib Nurmagomedov

dan ramai lagi sebenarnya.

Kalau korang nak tahu, watak Yuri Boyka (Scott Adkins) dalam filem Undisputed tu sebenarnya satu watak yang mempunyai latar belakang seni mempertahankan diri Sambo jugak!

Oh, ye… Di Malaysia pun kita ada tau persatuan Sambo ni kalau korang berminat nak belajar, cari Sambo Malaysia.