Senarai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Di Malaysia

GAYA HIDUP
April 15, 2019 - 03:19 PM


Tak lama lagi, AirAsia bakal mendapat persaingan daripada sebuah lagi syarikat yang akan menawarkan penerbangan tambang rendah. Dengan penubuhan Citilink Malaysia Aviation Sdn. Bhd, Malaysia bakal mempunyai sebuah lagi syarikat penerbangan tambang rendah yang baharu.

Dijangakakan Citilink Malaysia Aviation Sdn Bhd akan mula beroperasi selewatnya 2021 selepas mendapat Sijil Pengendali Udara (AOC) dari Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)

Peringkat permulaan ini, syarikat ini akan beroperasi mengggunakan AOC milik Citilink Indonesia dan penerbangan sulung akan mula ditawarkan dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh, Cambodia pada suku kedua.

Difahamkan perkhidmatan yang bakal ditawarkan oleh Citilink nanti mampu menyaingi pesaing yang ada dalam industri selain yakin mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih baik serta memastikan tawaran harga jualan kekal kompetetif.

Antara Menu Yang Ada Dalam Citilink Sekarang... 

Menariknya, pelanggan akan menikmati tawaran bagasi 10 kilogram dan hidangan pecuma dalam penerbangan yang mana dua perkara ini tidak termasuk dalam harga murah pesaing mereka.

Penerbangan baru ini akan beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan menurut mereka, tumpuan diberikan lebih kepada laluan antarabangsa dan tidak akan memasuki laluan domestik.

Dengan adanya Citilink nanti, Malaysia akan menjadi 'rumah' kepada 4 lagi syarikat penerbangan tambang rendah iaitu; Malindo Air, AirAsia, Fireflyz dan MasWing

#1. AirAsia

AirAsia ditubuhkan pada 1993 dan mula beroperasi pada 18 November 1996 dibawah DRB-HICOM sebelum dilanda kemelut hutang pada 2 Disember 2001. AirAsia kemudian dibeli oleh Tan Sri Tony Fernandes dengan harga RM1 dan hutang sebanyak RM40 juta.

AirAsia kembali mendapat keuntungan sebagai penerbangan tambang rendah pada tahun 2002 dan melancarkan beberapa destinasi baru dari Kuala Lumpur. Secara tidak langsung, AirAsia memecahkan dominasi Malaysia Airlines dan ketika itu, mereka mempromosikan tambang serendah RM1!

AirAsia kemudiannya membuka hab kedua di Senai, Johor dan penerbangan antarabangsa pertama mereka adalah ke Bangkok. Kini AirAsia mempunyai 7 anak syarikat dan ia merangkumi 165 destinasi .

 

#2. Malindo Air

Malindo Air adalah kepunyaan syarikat penerbangan Indonesia, Lion Air yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor. Nama Malindo digunakan sebagai tanda kesepakatan dan kerjasama antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Kemasukan AirAsia ke pangkalan Lion Air Indonesia telah menyebabkan syarikat penerbangan Indonesia ini memasuki pasaran Malaysia melalui anak syarikatnya. Secara tidak langsung, Lion Air menerusi Malindo Air menjadi pesaing utama AirAsia yang sekarang ini dinobatkan sebagai penerbangan tambang rendah terbesar di Asia!

Malindo air setakat ini mempunyai kekuatan 46 buah pesawat dan terbang ke 65 destinasi dalam dan luar negara.

#3. Firefly

Firefly ditubuhkan pada 16 Mac 2007 dan merupakan anak syarikat daripada Malaysia Airlines. Mula beroperasi pada April 2007, Firefly berpangkalan di Petaling Jaya dan mempunyai dua hab penerbangan iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Firefly memfokuskan penerbangan tambang rendah dan ia mempunyai 12 kapal terbang yang terbang ke 11 destinasi dalam dan luar negara.

 

#4. MASwings

Selain Firefly, sebuah lagi anak syarikat Malaysian Airlines adalah Maswings yang menyediakan penerbangan ke kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Maswings berpangkalan di Kota Kinabalu dan mempunyai 3 hab utama; di Kuching, Miri dan Kota Kinabalu.

Sehingga kini, Maswings mempunyai 16 buah pesawat dan terbang ke 22 destinasi.

 

Nota Editor : Diharapkan dengan adanya pendatang baru, masing-masing akan bersaing secara sihat untuk memberikan yang terbaiklah. Harga pun nanti berlawan-lawan lah murahnya… Hehe.