Johor Wartakan Solat Jamak Dan Qasar Terbaharu Melebihi 81KM Bersamaan 2 Marhalah

ISLAMIK
November 15, 2023 - 03:38 PM


Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan fatwa baharu jarak perjalanan bagi musafir sejauh 81 kilometer berbanding 90 kilometer sebelum ini.

Penwartaan baharu bertarikh 9 September lalu menyaksikan umat Islam di Johor boleh mengerjakan solat jamak dan qasar serta hukum fiqah lain mengikut jarak yang diputuskan.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad ketika dihubungi berkata, fatwa itu diwartakan dalam Warta Kerajaan Johor bertarikh 9 November lalu mengikut ketetapan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (Enakmen 16 Tahun 2003).

“Warta baharu berkenaan dikeluarkan selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk disiarkan menurut Subseksyen 48 (6) enakmen itu.

Pada 25 April tahun lalu, jawatankuasa berkenaan membuat keputusan penetapan kadar dua marhalah adalah 81km setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut.

Ia selaras keputusan yang dibuat mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 pada 16 hingga 17 Februari 2021.

Ia juga boleh mengikut peta yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) atau peta disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melalui sistem i-PLAN.

Marhalah bermaksud ukuran jarak yang lebih kurang 28 batu atau 45.06 km.

Adapun dua marhalah mengikut ukuran sebelum ini antara 85 km – 90 km atau bersamaan 56 batu.

AL-KAFI # 1181: MAKSUD DUA MARHALAH DI DALAM JAMAK DAN QASAR

Soalan:

Assalamualaikumwarahmatullahi wabarakatuh ustaz, apakah yang dimaksudkan 2 marhalah di dalam solat qasar?

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada saudara yang bertanya.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.

Firman Allah Taala:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat)”.

(Surah An-Nisa’:101)

Nas di atas ini menunjukkan dalil dibolehkan solat qasar ( iatu solat empat rakaat dipendekkan kepada 2 rakaat) hal keadaan alkhauf ( ketakutan) seperti berperang bukan keadaan aman. Naamun terdapat Hadis Sohihah dan Ijmak membolehkan solat qasar hal keadaan aman.

Nabi bersabda, mafhumnya:

"Ya'la bin Umaiyah r.a. telah berkata kepada Sayidina Umar r.a. mengapa kita mengerjakan solat secara qasar sedangkan kita di dalam keadaan yang aman? Lalu Sayidina Umat r.a. menjawab, aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w. bersabda, solat qasar itu sebagai satu sedekah (pemberian) yang Allah s.w.t. sedekahkan dengannya ke atas kamu maka hendaklah kamu menerimanya atau ambillah sedekah itu.

 (Hadis Riwayat Imam Muslim 686)

Selebihnya boleh rujuk di sini