Puasa Boleh Terbatal Kerana Pakai Lipstik? Ini Penjelasan Ustaz Wadi Annuar

ISLAMIK
March 08, 2024 - 02:24 PM


Sebagai umat Islam, berpuasa di bulan Ramadan adalah satu kewajipan bagi mereka yang sudah mencapai usia akil baligh. Bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, terdapat perkara-perkara lain yang tidak boleh dilakukan ketika berpuasa.

Perkara-perkara lain yang dilarang adalah seperti merokok, muntah dengan sengaja dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan.

Tetapi ada juga beberapa perkara yang membuatkan orang ramai ragu-ragu sama ada ia boleh membatalkan puasa seseorang atau tidak.

Antara perkara yang membuat golongan wanita ragu-ragu adalah pemakaian lipstik. Ini kerana, memakai lipstik adalah rutin harian bagi kaum hawa.

Bagi golongan perempuan, berpuasa pastinya akan menyebabkan bibir menjadi kering dan merekah. Lantas ramai yang memakai lipstik atau lip balm bagi melembapkan bibir.

Menerusi ciapan di laman X, seorang penceramah bebas iaitu Ustaz Wadi Annuar menyatakan bahawa hukumnya memakai gincu ketika sedang berpuasa adalah makruh.

Jelasnya, pemakaian gincu dibimbangi boleh menyebabkan seseorang terjilat bibir dan menelannnya sehingga membatalkan puasa.

Ciapan berkenaan telah mendapat pelbagai komen daripada netizen yang masih kurang jelas mengenai pemakaian lipstik ketika berpuasa sehingga ada juga yang bimbang jika puasa mereka sebelum ini tidak diterima.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri juga pernah mengulas hal ini apabila menerima persoalan sama daripada orang ramai.

Beliau menjelaskan bahawa tidak salah untuk memakai lipstik ketika sedang berpuasa selagi mana individu itu tidak menelan masuk ke dalam rongga.

"Hukum penggunaan lipstik pada siang hari Ramadan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana ia tidak menelan masuk ke dalam rongga. 

“Sekadar terdapat ‘rasa’ di bibir maka ianya tidak membatalkan puasa,” jelasnya.

Hal ini juga disamakan dengan situasi seseorang yang merasa makanan dengan lidah, ia sudah pasti memberikan kesan rasa. Namun selagi mana individu itu tidak menelannya maka tidak batal puasa itu.

Jika hanya sekadar dirasai di bibir, maka ia masih tidak membatalkan puasa seseorang. 

 

Sumber: X & Lobak Merah

Destination: