11 Rahsia Tempah Hotel Termurah

August 23, 2017 - 10:35 AM


Boleh dikatakan penginapan adalah kos kedua terbesar dalam sesebuah trip, selepas kos penerbangan. Jika kita dapat jimatkan kos penginapan, maka sebahagian besar kos keseluruhan trip dapat dijimatkan.

Kita tidak mahu habiskan ratusan ringgit hanya untuk tempat penginapan yang kita gunakan beberapa jam sahaja. Lebih baik lebihan duit tempahan hotel yang kita dapat jimatkan kita guna untuk makanan dan hiburan.

Tetapi untuk mencari tawaran hotel paling murah tidak semudah menaip nama hotel di Google dan pilih hasil carian paling atas. Kita perlu tahu dan praktikkan beberapa tips asas untuk dapatkan tawaran terbaik.

Berikut saya kongsikan 11 tips menempah hotel termurah.

 

LUASKAN CARIAN

Kita perlu luaskan carian hotel dari pelbagai website Online Travel Agent (OTA). Jika sebelum ini kita hanya menempah hotel dari Agoda, maka selepas ini kita patut lebih rajin membuah perbandingan harga dari pelbagai website.

Antaranya Booking.com, Hostelworld, Hostelbooker, Cleartrip dan Goibibo (India). Saya senaraikan beberapa OTA sahaja. Jika anda tahu OTA yang lebih baik dan murah, boleh sarankan di ruang komen.

SEMAK HARGA HOTEL DI COMPARISON SITE


OTA dan Comparison Site adalah dua jenis website yang berbeza. OTA seperti Agoda, Booking.com dan AirAsiaGo menjual bilik hotel terus kepada anda. Manakala Comparison Site pula mengumpulkan semua OTA dan membandingkan harga dari setiap OTA untuk anda.

Antara Comparison Site yang terkenal :

  • Trivago – Mengumpulkan lebih dari 250 OTA
  • Tripadvisor – Website yang lengkap dengan segala informasi yang diperlukan para pengembara.
  • Hotels.com – Untuk voucher diskaun, harga ahli dan bilik percuma
  • Travelsupermarket – Untuk carian yang lebih luas

Sebaik sahaja anda jumpa website yang menawarkan harga terendah, cuba hubungi hotel berkenaan dan tanya harga terendah yang boleh diberi jika anda buat tempahan terus dari pihak hotel. Nyatakan harga yang anda dapat dari OTA dan minta pihak hotel tawar harga yang lebih murah.

BATAL DAN TEMPAH SEMULA

Sebahagian hotel mahupun OTA beri pilihan untuk batalkan tempahan bilik secara percuma beberapa hari sebelum check-in. Ada juga yang mengenakan denda beberapa peratus dari harga bilik.

Jadi jika kita lihat harga bilik yang telah kita tempah jatuh lebih murah, maka kita boleh batalkan tempahan sebelum ini dan terus menempah bilik yang sama dengan harga lebih murah.

Sebelum batalkan sebarang tempahan, sila baca dengan teliti terma dan syarat yang telah ditetapkan pihak hotel mahupun OTA. Sebahagian hotel akan menolak 100 peratus harga tempahan hotel dari kredit kad kita walaupun kita batalkan tempahan sebelum check-in hotel.

CASHBACK WEBSITE

Anda boleh dapatkan kembali beberapa peratus dari harga tempahan hotel dengan satu langkah mudah. Sebelum membuat carian, anda perlu masuk ke laman OTA tersebut melalui link yang disediakan website Cashback.

Contohnya anda tempah hotel di Hotels.com OTA) melalui Website Topcashback (Cashback Website), anda akan dapat pulangan semula sehingga 13 peratus.

Antara Cashback Website yang popular Topcashback dan Quidco. Tetapi tidak semua cashback website bekerjasama dengan semua OTA. Anda perlu teliti setiap cashback website untuk mengetahui dengan siapa sahaja mereka bekerjasama.

SIGN UP HARGA MEMBERSHIP

Sebahagian Travel Website dan OTA menawarkan harga promosi khas untuk mereka yang mendaftar sebagai ahli. Tawaran ini hanya diberi kepada yang mendaftar sahaja. Kebiasaannya anda hanya perlu berikan email untuk mendaftar dan tiada bayaran dikenakan.

Antaranya Expedia, Travel Zoo dan Secret Escape. Boleh jadi harga yang mereka tawarkan jauh lebih murah berbanding harga tempahan dari website hotel itu sendiri.

Rangkaian syarikat mereka lebih besar berbanding hotel tersebut. Maka mereka tidak kesah untuk ‘rugi’ sedikit di bahagian tempahan hotel tetapi untung di bahagian promosi.

TEMPAH HOTEL BERSAMA FLIGHT

Anda dapat jimatkan kos penginapan jika menempah hotel dan flight dalam satu bayaran. Sebahagian OTA menawarkan promosi yang menarik jika anda tempah hotel dan flight dari mereka.

Antara OTA yang menyediakan kemudahan ini AirasiaGo, Momondo dan Kayak.

Sebelum menempah bandingkan dahulu perbezaan harga antara tempahan berasingan dan tempahan bersama. (Combined Booking)

SARAPAN PERCUMA

Sentiasa semak sama ada tempahan hotel termasuk sarapan percuma atau tidak. Bagi para backpacker, sarapan percuma bermaksud sarapan dan makan tengah hari percuma. Kita boleh ‘sumbat’ sarapan pagi ke dalam perut sebagai ‘bekalan’ tengah hari.

Kita boleh minta sarapan percuma untuk galakkan sesebuah hotel ‘lawan’ harga yang ditawarkan OTA mahupun Comparison Site.

AMBIL KIRA KOS BERKAITAN

Hotel yang lebih jimat RM 20 mungkin tidak berbaloi ditempah jika anda perlu menaiki teksi setiap kali ingin ke bandar. Hotel yang paling murah juga tidak berbaloi jika restoren atau pasaraya terdekat 10 KM dari hotel. Lebih baik anda bayar lebih untuk penginapan daripada letih berulang dari hotel ke bandar.

Ya kita hanya tahu kedudukan hotel, restoren dan pasaraya di sesuatu tempat setelah jejakkan kaki di sana. Ketika inilah Google Street View memainkan peranan besar untuk membantu anda. Dengan Google Street View anda boleh ‘travel’ ke sesuatu tempat sebelum menjejakkan kaki di sana.

SEMAK HARGA DI WEBSITE HOTEL

Jika anda sudah dapat nama hotel yang ingin ditempah, anda cuma perlu Google nama hotel tersebut. Kemudian masuk ke website hotel yang dipaparkan.

Sebahagian hotel menawarkan harga diskaun jika kita menempah bilik terus dari website hotel tersebut. Ataupun mereka tawarkan kupon sarapan percuma yang boleh kita gunakan di cafe atau restoren tertentu.

AMBIL KIRA CUKAI DAN CAS TERSEMBUNYI

Sesetengah OTA hanya memaparkan harga awal hotel, tanpa cukai dan cas tersembunyi. Kita hanya menyedari cas ini ketika ingin membuat pembayaran.

Boleh jadi harga awal hotel dari agen A lebih murah berbanding agen B, tetapi selepas dimasukkan cukai dan cas-cas lain harganya melonjak jauh lebih mahal.

Sebagai contoh Agoda hanya memaparkan harga awal hotel tanpa cukai dan cas-cas lain. Manakala Booking.com terus paparkan harga keseluruhan hotel termasuk cukai dan cas-cas lain.

Antara cukai yang sering digunakan, ‘city tax’ mengikut tempoh penginapan. Kebiasaanya 10 euro untuk setiap bilik, setiap hari. Cas tersembunyi pula seperti cas membersihkan bilik yang boleh mencecah sehingga 20 euro !

TEMPAH HOTEL YANG TIDAK TERSENARAI DALAM OTA

Antara hotel termurah di seluruh dunia adalah hotel yang tidak tersenarai dalam OTA. Hotel-hotel kecil di celah lorong bangunan mungkin tidak tersenarai dalam syarikat OTA yang besar. Hal ini kerana margin keuntungan mereka terlalu kecil. Mereka tidak mampu bayar komisen kepada OTA yang lebih besar.

Tetapi bagaimana kita nak cari dan tempah hotel-hotel kecil ini ? Kita boleh baca forum perkongsian dari pengembara sebelum ini di Tripadvisor, Lonely Planet dan lain-lain.

Mungkin kita tidak akan jumpa website hotel tersebut, tetapi cukup dengan nombor telefon hotel kita boleh buat tempahan.