Beroperasi Semula, Ini 12 Pulau Tercantik Terengganu Untuk Korang Rileklah!



Negeri Terengganu sememangnya kaya dengan khazanah pulau yang indah dan air lautnya yang jernih bak kristal.

Tapi Oktober tahun lepas, kesemua pulau di negeri itu ditutup berikutan musim tengkujuh.

Baca ini: Pulau Peranginan Terengganu Ditutup 5 Bulan Mulai Oktober

Namun beberapa hari lepas, pihak berkuasa negeri telah mengumumkan berita gembira iaitu pembukaan semula pulau-pulau peranginan di sana kepada pelancong bermula awal bulan ini.

Mesti ramai yang teruja dan tak sabar nak ber 'vitamin-sea' dekat sana, kan?

Jom tengok senarai 12 pulau cantik yang ada di Terengganu untuk korang pilih sebagai destinasi percutian, lagi-lagi nak dekat musim cuti sekolah hujung bulan ni.

 

#1. PULAU REDANG

Kalau cakap pasal Terengganu mesti yang terbayang di fikiran dulu ialah Pulau Redang. Jadi tak hairanlah kalau pulau ni selalu jadi pilihan destinasi berbulan madu untuk pasangan baru berkahwin.

Kalau korang ke sini tempoh masa yang diambil untuk sampai ke Redang dalam sejam sekiranya bertolak dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang. Banyak aktiviti boleh dilakukan di sini seperti snorkelling, diving di 2 lokasi kapal selam tenggelam waktu Perang Dunia ke-2, merentas hutan, tapi memancing tak dibenarkan, ya!

 

#2. PULAU KAPAS

Bagi korang yang tak tahu, Pulau Kapas sinonim dengan aktiviti mencandat sotong. Selalunya ramai yang ke sini sekitar bulan Jun dan Julai. Jadi pulau ini tidaklah sesibuk pulau-pulau lain di Terengganu walaupun pada musim cuti sekolah. Bagi korang yang inginkan ketenangan, pulau ni memang sesuai sangat untuk korang!

Baca juga: Rileklah X Pulau Kapas : Percutian 3H2M Di Pulau Kapas

 

#3. PULAU GEMIA

Tak jauh dari Pulau Kapas, ada sebuah pulau dinamakan Pulau Gemia yang jaraknya hanya 800 meter. Kalau korang ke sini mesti jatuh cinta tengok keindahan pantainya yang dikelilingi terumbu batu karang yang cantik. Kalau korang bernasib baik, mungkin dapat juga tengok ketibaan sang penyu dari spesies Agar yang datang untuk bertelur di kawasan pantai. Seronoknya, kan?

 

#4. PULAU RAWA

Kalau Johor ada Pulau Rawa, Terengganu pun ada pulau dengan nama yang sama. Pulau ni juga memiliki keindahan pantai setanding dengan Pulau Rawa yang terletak di Mersing, Johor. Malah, pulau ini lebih terpelihara daripada sebarang pencemaran kerana di sini kurang dilawati pengunjung memandangkan tiada kemudahan penginapan disediakan. Bagi yang suka melihat keunikan terumbu karang dan pelbagai hidupan dasar laut, korang boleh naik bot yang disediakan dari Pulau Perhentian serta luangkan masa sehari suntuk di pulau ini.

 

#5. PULAU SERENGGEH

Nama lain bagi Pulau Serenggeh adalah Serengeti atau Serengeh. Istimewanya di pulau ini korang boleh melihat banyak batu karang jenis ‘Table Coral’. Bila ianya terkena pantulan cahaya matahari yang menembusi air laut terhasillah kilauan yang sangat mempesonakan. Korang kena pergi dan saksikan sendiri keindahan tersebut.

 

#6. PULAU TENGGOL

Terletak hanya 50 minit dari Jeti Kuala Dungun dengan menaiki bot, Pulau Tenggol sememangnya terkenal sebagai destinasi menyelam terbaik di Semenanjung Malaysia. Di sini ada 20 lokasi menyelam yang korang kena cuba antaranya Batu Tokong Laut yang kaya dengan ikan selar dan batu karang, manakala Teluk Air Tawar tempat penyu berkeliaran.

 

#7. PULAU BIDONG

Pulau Bidong sama seperti Pulau Rawa yang tiada tempat penginapan. Tapi di sini banyak juga lokasi untuk menyelam seperti Batu Takorak, Pulau Yu Besar & Kechil serta Blue Garden yang kaya dengan kehadiran hidupan laut ‘Blue Anemone’ yang mengeluarkan cahaya biru dari badannya.

 

#8. PULAU RHU HENTIAN

Pulau ini terletak di bahagian utara Terengganu dan hanya mengambil masa antara 20 hingga 30 minit menaiki bot dari Kuala Besut. Pulau Rhu Hentian ini tidaklah sebesar mana sebab dalam masa kurang 2 jam sahaja korang dah boleh habis jalan-jalan keliling pulau. Selain berenang, di pulau ni juga ada aktiviti berkayak dan jungle trekking.

 

#9. PULAU PERHENTIAN KECIL

Pulau Perhentian terbahagi kepada 2 iaitu Perhentian Kecil dan Besar. Pulau Perhentian Kecil menawarkan pula dua kawasan pantai yang berbeza iaitu Long Beach dan Coral Bay.

Long Beach memang lokasi yang paling ‘happening’ tak kira malam atau siang dan pantainya yang berbentuk seakan-akan bulan sabit ini selalu jadi pilihan pengunjung. Manakala di Coral Bay adalah lebih privasi dan menjadi pilihan pengunjung yang mahu menikmati pemandangan indah matahari terbenam.

 

#10. PULAU PERHENTIAN BESAR

Bagi yang mahukan ketenangan dan kesunyian alam, korang boleh ke Pulau Perhentian Besar ini untuk berbaring atas hammock di tepi laut sambil membaca buku kegemaran korang. Kalau nak cuba aktivit menyelam skuba, banyak resort-resort di pulau ini menawarkan kursus selaman di pusat menyelam yang dilengkapi dengan segala peralatan.

Bukan itu saja, korang juga boleh jungle trekking, berkayak atau melibatkan diri dalam projek pemeliharaan penyu yang ditawarkan oleh kebanyakkan resort di sini. Jadi dijamin korang takkan bosan bercuti ke sini!

 

#11. PULAU LANG TENGAH

Dah namanya pun ‘Tengah’, pulau ini memang terletak di tengah-tengah antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Perkataan ‘Lang’ pula adalah kerana pulau ini sememangnya menjadi lokasi tumpuan burung-burung helang. Kalau korang ke sini sekitar bulan Mei hingga September, korang mungkin berpeluang melihat sendiri kehadiran penyu-penyu mendarat untuk bertelur di kawasan pantai.

 

#12. PULAU DUYONG

Kalau pulau-pulau lain rancak dengan aktiviti menyelam dan keindahan laut dalamnya, di Pulau Duyong ni berbeza pula ceritanya. Tarikan di sini adalah kerana kewujudan kawasan perkampungan dengan penduduk yang hidup harmoni. Di sini juga terkenal dengan kebolehan penduduknya yang kreatif dalam membina kapal kayu. Banyak bengkel di sekitar Kota Lama Duyong boleh dikunjungi untuk melihat mereka bekerja dengan lebih dekat.