Encore Melaka Port Baru ‘Insta-Worthy’ Wajib Korang Pergi!

March 29, 2019 - 04:46 PM


Siapa kat sini yang dah lama tak posing acah-acah model berlatar belakangkan pemandangan menakjubkan atau boleh mengundang beribu ‘likes’ di Instagram korang?

Apa kata hujung minggu ni korang pergi Melaka dan cari lokasi ini yang dinamakan ‘Encore Melaka’!

Ya, Encore Melaka merupakan tarikan terbaharu di bandaraya bersejarah itu dan belum sampai setahun pun dibuka.

Ia sebenarnya merupakan sebuah bangunan teater bertaraf dunia seluas 15 hektar yang dibina di atas tanah tambak di Kota Syahbandar dan menghadap ke Selat Melaka.

Uniknya struktur bangunan Encore Melaka ini berkonsepkan moden dan bahagian luarnya jika dilihat dari jarak dekat seakan bersisik kerana disusun jubin porselin berwarna putih.

Namun, suasana lebih menarik pada waktu malam apabila dinding luar bangunan yang diperbuat daripada lampu diod pemancar cahaya (LED) menyala dengan warna kebiru-biruan dan memberi efek ‘wow’ kepada sesiapa yang melihatnya.

Bagi korang yang memang kaki gambar, Encore Melaka ni destinasi yang mesti korang pergi.

Kredit Foto: AKEEM

Dah namanya pun bangunan teater, selain bergambar, korang pun boleh juga menonton persembahan teater kat sini.

Bukan calang-calang persembahan tau kat sini sebab Encore Melaka ni dilengkapi projeksi video serta set pentas haudralik bertingkat yang boleh berputar 360 darjah!

Malah, ia boleh menempatkan lebih 2000 penonton dalam satu sesi pementasan.

Ceritanya pun dah tentulah tak membosankan sebab ia mementaskan kompilasi cerita budaya yang mencerminkan masyarakat majmuk yang wujud di Melaka sejak zaman berzaman.

Jadi, memang sesuai pada korang yang sukakan sejarah dan nak tahu asal-usul penduduk Melaka terutama masyarakat Baba dan Nyonya.

Bagi mendapatkan maklumat mengenai persembahan teater dan tiket, korang boleh ke Facebook Encore Melaka.

Kemudahan yang disediakan di Encore Melaka ni memang terbaik seperti ruang parkir dan tandas awam percuma, malah suraunya pun sangat besar, sejuk dan selesa untuk solat.

Jadi apa lagi, jom ajak kawan-kawan dan keluarga korang ke Melaka dan singgah di Encore Melaka ni yang terletak kurang 5 kilometer sahaja dari bandaraya Melaka.

Waze je Encore Melaka, confirm jumpa!

P/S: Tapi, kalau nak datang sini pastikan korang pakai pakaian yang berwarna atau dengan kata lain jangan pakai baju putih sebab takut tenggelam pula dalam gambar sebab tempat ni kan dah memang putih.

Sumber Foto: Twitter

Destination: