Ibarat Bercuti Ke Alam Fantasi, Giethoorn Unik Tanpa Jalan Raya

TRAVEL
April 19, 2019 - 11:33 AM


Kepada sesiapa yang selalu berangan untuk tinggal di perkampungan alam fantasi dikelilingi hutan, bunga-bungaan dan air sungai yang mengalir dingin, anda mungkin wajib pergi bercuti ke Giethoorn, Amsterdam, Belanda.

Keunikan dan kedamaian perkampungan ini yang hanya dikelilingi air tanpa sebarang jalan raya atau kereta membuatkan ia digelar sebagai ‘Venice Belanda’!

Berada di Giethoorn umpama hidup dalam cerita dongeng. Mana taknya kerana satu-satunya akses ke kawasan perkampungan unik ini adalah dengan menaiki bot atau sampan melalui terusan atau berjalan kaki merentasi 175 jambatan kayu.

Bukan sahaja penduduk dan pelancong, malah posmen di sini juga menghantar surat mereka dengan menaiki bot.

Perkampungan ini didiami sekitar 2,600 penduduk sahaja yang menetap di rumah-rumah ladang beratapkan rumbia yang dibina sejak abad ke-18 lagi.

Punyalah nak kekalkan keamanan dan kedamaian Giethoorn ni, sampaikan penduduk setempat membuat perahu motor yang tidak mengeluarkan bunyi atau disebut sebagai "whisper boat". Power, kan?

Untuk ke Giethoorn, pengunjung perlu meninggalkan kenderaan mereka di luar kawasan kampung dan menyelusurinya dengan menggunakan bot berenjin senyap, berjalan kaki atau berbasikal.

Bagi pelancong yang bercuti ke Giethoorn, ada banyak tempat penginapan dan restoran yang dibina di tepi terusan dengan pemandangan yang sangat menyejukkan mata.

Antara yang menjadi tarikan utama pelancong ialah 3 buah muzium di Giethoorn di mana korang boleh mengenali lebih mendalam sejarah kehidupan masyarakat di sini sejak 100 tahun dahulu dan melihat kerja-kerja penghasilan tembikar secara tradisional.

Terdapat juga pameran seni dan aktiviti muzikal yang dijalankan sepanjang tahun.

Desa ini juga terletak di tengah-tengah Taman Negara Weeribben-Wieden, sebuah rizab alam semulajadi yang besar untuk diterokai.

Kalau tiba musim sejuk, terusan dan air sungai di sini membeku dan bertukar menjadi lokasi untuk aktiviti meluncur ais yang sangat menyeronokkan.

P/S: Kalau korang pernah main Monopoly, korang mesti perasan nama 'Giethoorn' telah menjadi sebahagian daripada hartanah yang ada dalam di dalam permainan tersebut. Kira perkampungan ni setanding dengan kota metropolis dunia seperti London, New York dan Tokyo. Hebat, kan?