Orang Awam Kini Boleh Melawat Kediaman Rasmi Perdana Menteri Di Putrajaya



Biasanya cuti sekolah ni, ibu bapa mesti pening nak bawak anak-anak bercuti atau berjalan kan? Kalau korang masih tercari-cari lokasi atau tempat menarik untuk bawa anak musim cuti persekolahan ni, apa kata bawa mereka melawat kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Kompleks Seri Perdana ni merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia dan kebiasaannya inilah tempatnya untuk menyambut atau meraikan majlis bersama Ketua-ketua negara, Kerajaan mahupun pembesar negeri.

Selaras dengan prinsip Seri Perdana sebagai kepunyaan rakyat, beberapa bahagian tertentu di Seri Perdana kini telah dibuka untuk lawatan orang awam iaitu Blok Protokol dan Blok Bankuet.

Kompleks Seri Perdana yang terletak di Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya ini mempunyai keungulan seni bina yang menarik selain mempunyai landskap dan rekabentuk yang menggabungkan tiga warisan segajat. Antaranya reka bentuk binaan Melayu, Islam dan Eropah.

Bangunan yang dibina pada tahun 1997 ini didirikan atas tapak berkeluasan 42.5 ekar dan ianya mengikut kontur anak bukit. Secara tak langsung, ia mengekalkan struktur geografi dan alam semula jadi di sekitarnya. Ini selaras juga tau dengan konsep perancangan Putrajaya iaitu sebagai Bandaraya Taman.

BLOK PROTOKOL

Di blok ini, mempunyai beberapa bilik utama yang digunakan untuk menyambut tetamu seperti pembesar dan ketua kerajaan dari dalam dan luar negara.

Antara yang boleh dilawati adalah Bilik Tetamu Utama, Bilik Tetamu Khas, Bilik Menunggu, Bilik Mesyuarat dan juga Dewan Jamuan Khas.

 

BLOK BANKUET

Di blok bankuet, orang awam boleh melawat dewan bankuet rasmi serta galeri pameran. Dewan Bankuet ini mampu memuatkan antara 200 hingga 300 orang tetamu pada satu masa. Manakala di galeri pameran pula, dipaparkan pelbagai koleksi hadiah, anugerah dan cenderahari yang diterima oleh Perdana Menteri daripada pembesar dari dalam dan luar negara.

Tarikh Dan Masa Lawatan

Untuk guided tour permohonan perlu dihantar secara online atau email kepada visitperdana@pmo.gov.my sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh lawatan.

Untuk tujuan keselamatan dan keselesaan pelawat, prosedur keselamatan Kompleks Seri Perdana perlu dipatuhi setiap masa dan sebarang penggambaran di dalam kompleks adalah tidak dibenarkan.

Peraturan Yang Perlu Dipatuhi :

Tempoh lawatan adalah selama 1 jam 30 minit

Pelawat mesti berpakaian kemas dan sopan

Pihak pengurusan boleh meminda jadual lawatan sekiranya terdapat majlis rasmi semasa waktu lawatan tersebut

Pelawat dari Dalam Negara dan Luar Negara perlulah membawa Kad Pengenalan Diri / Passport untuk tujuan pendaftaran

Untuk maklumat lanjut boleh rujuk di Laman Web Rasmi Kompleks Seri Perdana