Panduan Dan Tempat Menarik di Gunung Bromo Indonesia



Macam dan menajdi trend buat kaki travel untuk ke Gunung Bromo di Indonesia. Mungkin di sebabkan keindahan kawah gunung berapi ini membuat kaki travel Malaysia jadikan Gunung Bromo sebagai salah satu destinasi wajib pergi.

Buat mereka yang bercadang untuk ke Gunung Bromo, kami kongsikan sedikit tip dan panduan buat korang. Semoga dapatlah sedikit sebanyak dapat gambaran apa perlu dibuat jika ke sana.

1. Persediaan

Untuk pengetahuan, Gunung Bromo yang terletak di Pulau Jawa adalah sebuah gunung berapi yang masih aktif. Gunung ini mempunyai ketinggian 2329 meter dan bukanlah puncak tertinggi di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, tetapi paling terkenal dan paling banyak dikunjungi oleh pelancong.

Oleh kerana bentuk muka buminya yang sejuk dan berdebu, persediaan sangatlah penting. Selain keperluan seperti makanan dan air (yang boleh juga boleh dibeli di gerai-gerai sekitar puncak), kaki travel juga perlu membawa pakaian tebal, penutup mulut (mask) kerana krater Bromo aktif mengeluarkan sulfur, kasut yang bersesuaian, lampu suluh, krim pelindung matahari dan pelembab mulut/kulit.  

2. Pengangkutan

Umumnya, terdapat dua cara untuk ke Bromo iaitu melalui Kota Malang dan Kota Surabaya (menginap di kaki gunung Bromo sendiri). Kota Malang terletak kira-kira 53 km dari Bromo dan mudah mencari penginapan. Perjalanan subuh pagi melalui sewaan jip dari Kota Malang mesti dibuat seawal mungkin untuk mengejar pemandangan matahari terbit di Gunung Penanjakan bersebelahan Gunung Bromo. Seusai seharian berkeliling dengan jip, anda bolehlah kembali ke penginapan di Malang.

Penulis menggunakan cara kedua melalui Kota Surabaya, dari kota ini perlu menaiki bas awam ke pekan Probolinggo dan disambung dengan menaiki bison (seperti van awam) menaiki kawasan pergunungan sehinggalah sampai ke Cemero Lawang, sebuah kampung bersuhu dingin yang terletak di kaki Gunung Bromo. Di sini, terdapat chalet yang boleh disewa melalui online lebih awal atau mengetuk rumah-rumah tumpangan milik penduduk kampung yang kebanyakannya dari suku Tengger beragama Hindu.

3. Penginapan

Bagi yang melalui Kota Malang, penginapan murah boleh didapati sekitar stesen kereta api Malang. Kebanyakan penginapan ini menyediakan jip sewaan yang boleh dikongsi dengan penghuni lainnya. Bagi yang memilih tinggal di kaki gunung Bromo dan menempah secara online, dua hotel paling popular ialah Café Lava Hostel dan Lava View Lodge.

Penulis sendiri yang tiba pada waktu hampir malam memilih untuk bertanyakan rumah tumpangan orang kampung dan bernasib baik kerana seorang ibu yang menjual jagung di tepi jalan ada bilik kosong untuk disewa. Suaminya juga mempunyai jip yang sedia untuk disewa keesokan harinya.

4. Itinerari

Jadi setelah sampai di kaki Gunung Bromo, apakah tempat-tempat menarik yang boleh dilawati? Ternyata ada banyak tempat menarik di sini bergantung kepada masa anda, tetapi berikut beberapa perkara yang wajib dibuat; ·

Matahari Terbit Di Gunung Penanjakan

Sila pastikan anda menyewa jip untuk perjalanan seawal subuh. Pemandangan matahari terbit sekitar jam 5.30 pagi sangat indah di Gunung Penanjakan. Seawal 4.00 pagi, anda perlu bersedia dengan pakaian bersesuaian untuk mendaki Gunung Penanjakan. Untungnya, jip akan membawa anda menaiki gunung tersebut separuh jalan, dan anda bolehlah meneruskan pendakian sekitar 30 minit lagi ke puncak.

Pasir Berbisik

Selesai melihat matahari terbit di Gunung Penanjakan, jip sewaan akan membawa anda ke Gunung Bromo dan anda akan melalui padang pasir yang gundul seakan gurun. Tempat ini dikenali di kalangan orang tempatan sebagai Pasir Berbisik, sempena tajuk sebuah filem yang melakukan penggambaran di lokasi ini. Kerana lapisan pasir yang tebal di sini, jip tidak akan dapat sampai ke krater Gunung Bromo jadi anda ada pilihan sama ada merentasinya secara berjalan kaki atau menyewa kuda.   

Bukit Teletubbies / Padang Rumput Savannah

Dalam perjalanan ke Gunung Bromo, anda akan melalui sebuah bukit yang indah. Bukit ini dinamakan Bukit Teletubbies kerana bentuknya seakan latar tempat kartun popular tersebut. Manakala hamparan rumputnya yang menghijau dinamakan padang Savannah. Jika anda datang ketika letusan gunung berapi baru berlaku, hamparan hijau ini akan dipenuhi oleh debu dan digantikan pemandangan padang jarak padang terkukur 

Kawah Gunung Bromo

Perjalanan kaki sekitar 30 minit sepanjang Pasir Berbisik akan membawa anda ke kaki Gunung Bromo sedia untuk menanjak ke puncak. Untuk mendakinya tidaklah terlalu sulit, kerana disediakan 250 anak tangga. Jika terlalu penat, bolehlah berehat sejenak kerana sepanjang tangga ini adalah port paling cantik untuk mengambil gambar. Di puncaknya, anda akan disuguhi dengan pemandangan kawah gunung berapi gergasi yang masih panas berasap dan menyemburkan gas sulfur yang beracun. Ingat, jangan melebihi laluan dan batas yang ditetapkan untuk bergambar! ·

Air Terjun Madakaripura

Seusainya lawatan ke kawah Bromo, anda bolehlah bergerak kembali ke penginapan untuk pulang atau destinasi seterusnya. Tetapi jika anda ada masa terluang, tidak berapa jauh dari Gunung Bromo terdapat sebuah air terjun dinamakan Madakaripura yang cantik untuk berehat. Walau bagaimanapun, jalan 4 km menuju ke air terjun ini agak rosak teruk jadi anda dinasihatkan untuk menyewa khidmat pemandu pelancong sekiranya ingin ke sini atas faktor keselamatan

*****

Jujur boleh dikatakan memang berbaloi jika datang ke Gunung Bromo ni. Jadi jika korang ada masa yang lapang boleh cuba rancang untuk ke Gunung Bromo ni.