Sebelum Bercuti ke Hong Kong Baca 5 Tip Penting Ini Dulu

August 11, 2017 - 11:03 AM


Hong Kong ni merupakan salah satu destinasi yang paling laris buat pelancong dari Malaysia. Terkenal dengan Disney Land dan juga Night Life yang cukup meriah. Selain itu tiket ke Hong Kong juga banyak pilihan dah boleh di dapati dengan harga yang rendah. 

Jadi tak mustahil jika Hong Kong merupakan destinasi yang cukup ideal buat pelancong dari Malaysia. Sebelum beli tiket ke Hong Kong apa kata korang cuba baca dulu 5 tip penting sebelum terbang ke Hong Kong.

Apa yang anda perlu tahu sebelum bercuti di Hong Kong?

1. VISA

Rakyat Malaysia tak memerlukan visa untuk melawat Hong Kong untuk tempoh kurang dari 90 hari. Kalau anda ada duit bertingkat - tingkat untuk melancong sampai 90 hari, dipersilakan untuk memohon visa. Kalau takat beberapa hari sahaja, tak perlu mohon.

Boleh rujuk laman web Hong Kong Immigration Department.

****************************************************

2. MUSIM

Hong Kong adalah negara empat musim. Musim panasnya lebih panas dari di Malaysia, manakala musim sejuknya tidak sampai ke paras beku. Musim bunga dan luruh pula tidak berapa ketara. Mungkin kerana tak banyak pokok dan bunga yang terdapat di Hong Kong.

Waktu yang paling sesuai untuk melancong ke Hong Kong adalah bulan November ke Mac. Cuaca dingin dan tak terlalu sejuk sehingga membeku. Elakkan perjalanan ke Hong Kong pada kemuncak musim ribut taufan; antara bulan Julai ke Oktober. Jika kategori ribut melebihi T8 (berdasarkan Hong Kong Observatory), kebanyakan kedai akan diarah tutup dan perkhidmatan kenderaan awam akan tergendala.

Jika sudah membeli tiket murah, pastikan anda kerap layari laman web Hong Kong Observatory dan ubah itinerary mengikut ramalam cuaca.

****************************************************

3. KASUT

Kalau nak melancong ke Hong Kong, kena banyak berjalan. Tak payah nak pakai heels bagai. Pakai kasut sukan yang paling selesa. Jangan cuba nak pakai sandals sahaja. Melecet nanti.

Lagi satu nak pesan, orang Hong Kong ni jalan laju Ya Amat. Tinggalkan lenggang kangkung di Malaysia. Kalau lambat bergerak, memang melepas la. Tak dapat naik feri, tram dan MTR.

****************************************************

4. HOTEL ATAU AIRBNB

Harga hartanah di Hong Kong adalah antara yang tertinggi di dunia. Harga sebuah lot tempat letak kereta boleh mencecah jutaan Ringgit Malaysia. Lot kereta yang boleh muat sebuah Proton Perdana sahaja. Bayangkan harga sebuat apartmen 3 bilik yang selesa? Pastinya mahal bukan?

Jadi, jangan harap nak dapat bilik hotel atau AirBnB yang murah. Kalau di Malaysia, kadar bilik antara RM 200 - 300 dah selesa dah. Tetapi di Hong Kong, dengan bajet RM 200 - 300, boleh dapat satu bilik hostel dengan satu tandas kecil. Katil muat - muat untuk 2 orang (super single bed) manakala tandasnya amatlah kecil. Nak pusing badan satu hal.

Kalau ke Hong Kong dalam kumpulan yang besar, boleh sewa unit AirBnB. Lebih selesa dan boleh memasak di unit AirBnB untuk lebih jimat. Harga unit berbeza - beza mengikut saiz dan lokasi. Kalau mahukan lokasi yang di tengah bandar dan hampir dengan stesen bas atau MTR, harga akan lebih mahal.

Ketika memilih hotel atau unit AirBnB, pastikan anda tahu lokasi dengan teliti. Jangan disebabkan nak harga murah, anda pilih unit di Pulau Cheung Chau. Jenuh nak kena naik feri selama satu jam untuk sampai.

Pada tahun 2012, saya menginap di Check In Hostel di Wan Chai untuk RM 250 semalam (harga terkini; RM 438 semalam). Biliknya sangat kecil tetapi perkhidmatan amat memuaskan. Lokasi 'superb' di tengah bandar. Turun sahaja dari bilik, anda boleh terus menaiki bas dan tram. Jalan beberapa langkah sudah boleh sampai ke stesen MTR. Daki bukit sedikit, sudah boleh sampai ke Masjid Wan Chai (Osman Ramju Sadick Islamic Center) untuk menikamati Dim Sum Halal. Jika anda mahukan harga yang murah, boleh ambil bilik berkongsi seperti dorm (tandas berkongsi).

Pada tahun 2016 pula, saya menginap di sebuah flat 3 bilik, 2 bilik air melalui tempahan AirBnB. Harga satu malam untuk 11 orang adalah RM 1621. Lokasi tetap 'superb' di Tsim Sha Tsui. Dekat dengan MTR, bas & terminal feri. Ada pasar basah berdekatan, tempat membeli belah pun berlambak. Symphony of Lights hanya 15 minit berjalan kaki. Ada beberapa unit AirBnB yang lebih murah di Hong Kong. Lokasi dan saiz unit akan menentukan harga sewa. Pastikan ketika menempah bilik, anda dapatkan perincian lengkap berkenaan unit tersebut. Bukan semua flat dan apartmen di Hong Kong ada lif. Kalau boleh, elakkan Chungkin Mansion. Kawasan tersebut 'dark area' sedikit dan terlalu padat dengan penduduk. (boleh klik reference AirBnB ini untuk diskaun)

****************************************************

5. PENGANGKUTAN AWAM

Sistem pengangkutan awam Hong Kong adalah antara yang terbaik di dunia. Cakap sahaja nak ke mana, pasti ada pengangkutan awam yang boleh membawa anda ke destinasi. Harga perjalanan (tiket) juga adalah berpatutan. Sebelum anda jejak kaki ke Hong Kong, lebih baik anda fahami dan lihat dahulu peta jaringan pengangkutan awam, terutamanya MTR (Mass Transit Railway). Anda boleh lawat laman web MTR atau muat turun aplikasi MTR ke telefon bimbit anda. Sekali pandang memang boleh berpinar mata. Ada 13 'line' dengan warna yang berbeza!

Jika anda melawat kawasan di Pulau Hong Kong pula, anda WAJIB cuba naiki tram yang menyusur bahagian utara pulau Hong Kong. Orang tempatan panggil benda ni "Ding ding" kerana 'horn' - nya berbunyi "ding ding". Tambangnya murah sahaja HKD 2.30 untuk dewasa dan HKD 1.20 untuk kanak - kanak. Tak kisah anda naik dari mana dan ke mana, harganya tetap sama.

Kalau ada masa lebih, boleh naiki tram dari stesen Kennedy Town hingga ke Shau Kei Wan. Duduk di tingkat atas tram dan lihat sendiri bagaimana masyarakat setempat melalui kegiatan harian mereka.

Oh lupa, jangan tersilap tram pula. Peak Tram benda lain pula. Ia sama seperti keretapi di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Hanya ada dua stesen utama iaitu di Lower Terminus, berhampiran Admiralty dan the Peak. Nak sembang bab ni, kena tulis tajuk lain.

Untuk bahagian Hong Kong yang tiada perkhidmatan rel, anda boleh gunakan bas. Nak ketahui laluan bas, perlu lebih teliti sedikit. Nak kena tahu bas jenis apa dan nombor bas yang perlu anda naiki. Jadi, sebelum nak menaiki bas, buat carian Google Maps dan simpan data tersebut di dalam telefon pintar.

Jika nak menikmati 'feeling' romantik seperti Titanic, boleh naiki Star Ferry dari Central Pier ke Tsim Sha Tsui (Kowloon). Kalau dapat naik feri pada waktu malam lagi berbunga - bunga romantisnya. Pemandangan dari atas feri amat menakjubkan. Tambang feri hanya HKD 2.70 (HKD 3.70 pada hari minggu) untuk dewasa dan HKD 1.60 (HKD 2.20 pada hari minggu) untuk kanak - kanak.

Walaubagaimanapun sebelum nak jejak kaki atas semua pengagkutan awam ni, kena beli kad Octopus dahulu. Ia sama sahaja seperti Touch N Go hanya perlu sentuh dan jalan. Kad Octopus boleh dibeli di kaunter MTR di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Untuk pelancong, lebih baik membeli Standard Octopus Card dengan nilai isian HKD 100 dan HKD 50 deposit (jumlahnya HKD 150). Jangan risau jika baki isian tidak dipakai sepenuhnya. Sebelum menaiki pesawat pulang, nilai baki boleh ditebus semula apabila kad dipulangkan ke kaunter MTR di lapangan terbang.

OK tak tips ni? Boleh dah mula beli tiket flight.

 

Tip ini di kongsikan oleh Ahmad Firdaus

Destination: