Top 10 Scam Yang Sering Terjadi Ketika Melancong



Risiko yang korang perlu hadapi ketika melancong adalah scam. Di era kini, scam sangat berleluasa. Oleh itu sentiasalah berhati-hati ketika melancong kerana kadang-kadang kita sendiri pun tidak sedar yang ia adalah scam sampailah satu masa baru kita akan terasa.

Kali ini kami ingin senaraikan top 10 scam yang cukup popular buat masa kini. 

1. Meter teksi rosak

Ini adalah scam yang sangat biasa, namun masih ramai yang terkena. Walaupun kini terdapat teksi e-hail seperti Uber di serata dunia, namun ada kalanya anda akan menggunakan perkhidmatan teksi tempatan. Dan scam seperti ini biasanya dilakukan oleh pemandu teksi berdekatan lapangan terbang atau stesen kereta api. 

Apabila anda masuk ke dalam teksi dan pemandu mula memandu, dia akan memberitahu bahawa meternya rosak membuatkan anda dicaj dengan harga yang tak masuk akal. Lebih teruk jika anda tidak menyedari anda ditipu kerana tidak tahu berapa anggaran harga.

2. Hotel penuh atau tutup

Scam seperti ini juga kebanyakannya berlaku melibatkan pemandu teksi. Ketika dalam perjalanan ke hotel anda, pemandu teksi akan memberitahu sama ada hotel tersebut telah penuh atau telah tutup, dan membawa anda ke hotel yang lebih mahal di mana pemandu teksi tersebut mendapat komisyen.

3. Gelang tangan atau bunga mawar percuma

Scam ini biasanya cenderung untuk terjadi kepada pelancong wanita, lebih-lebih lagi yang berseorangan. Seorang lelaki atau wanita yang mesra akan menghampiri anda dan berbual, kemudiannya memakaikan gelang persahabatan "percuma" pada pergelangan tangan anda. Atau memberikan sekuntuk bunga ros "percuma".

Sebaik sahaja anda menerimanya, mereka akan meminta wang daripada anda. Jika anda tidak membayar, mereka akan membuat kecoh, sehingga anda terasa adalah lebih berbaloi untuk membayar daripada berhadapan dengan masalah.

4. Tumpahan pada pakaian

Sangat biasa berlaku di Eropah, pelancong akan berjalan-jalan dan terasa sesuatu pada bahu mereka, biasanya tahi burung atau secebis makanan. Kemudian, datang seorang yang tidak dikenali yang sangat mesra menghampiri anda dan mula membersihkan bahu anda yang terkena kotoran, sambil menyeluk poket anda.

5. Anggota polis palsu

Scam anggota polis palsu adalah antara salah satu yang paling popular di bandar-bandar besar. Kerap kali, seorang individu akan menghampiri pelancong dan menawarkan item yang diharamkan contohnya dadah. Ketika sedang berbual satu atau dua orang lagi akan datang menghampiri, seolah-seolah sebagai pegawai polis dan menunjukkan "lencana" mereka. Sebagai pelancong, sudah tentu anda tidak mengetahui sama ada mereka adalah pegawai polis atau tidak berdasarkan lencana atau pakaian seragam. Mereka kemudiannya meminta pelancong memberikan passport dan dompet.

6. Pembantu mesin ATM

Seseorang menghampiri anda di mesin ATM untuk membantu anda mengelakkan daripada dikenakan caj bank tempatan. Apa yang mereka mahu sebenarnya adalah mengimbas kad ATM anda dengan peranti khas dalam poket mereka dan melihat anda memasukkan nombor PIN agar mereka boleh keluarkan wang kemudian.

7. Tolong ambil gambar

Ketika anda sedang melepak di lokasi tarikan pelancong yang sibuk, datang seorang penduduk tempatan menawarkan untuk mengambil gambar anda dan rakan-rakan. Ketika anda sedang bersiap sedia untuk bergambar "melompat" yang bakal dimuatnaik ke Facebook, anda melihat dan menyedari "rakan baru" anda yang mesra tadi sudah hilang dari pandangan, dengan kamera atau telefon pintar anda yang mahal.

8. Sambungan WiFi percuma

Ini adalah scam yang paling licik dan tidak disedari oleh ramai pelancong. Walaupun anda boleh dapatkan WiFi di mana-mana sahaja pada masa kini, sesetengah daripadanya adalah percuma dan tidak mempunyai kata laluan, membuatkan anda boleh menggunakanannya secara terus.

Namun, ia adalah tersangat berbahaya. Penggodam biasanya menawarkan WiFi percuma tanpa kata laluan di lokasi awam yang akan digunakan oleh mangsa-mangsa yang tidak menyedari bahaya ini.

Secara tak sedar, anda memberikan akses komputer, kata laluan, akaun online dan banyak lagi kepada penggodam.

9. Panggilan hotel palsu

Ketika tinggal di hotel, anda mendapat panggilan daripada penyambut tetamu di tengah-tengah malam untuk mengesahkan butiran kad kredit. Namun, apa yang anda tak sedar adalah ia bukanlah daripada pihak hotel, tetapi scammer yang akan mencuri wang anda menggunakan butiran yang anda berikan.

10. Wanita tempatan menggoda

Anda sampai ke negara yang baru bagi anda dan menyedari ada gadis tempatan yang sangat cantik seakan-akan berminat atau memberikan perhatian kepada anda, yang mana tidak pernah berlaku dalam hidup anda sebelum ini. 

Salah seorang daripada mereka mengajak anda minum atau ke kelab malam. Namun, selepas beberapa ketika berseronok tanpa memikirkan apa-apa, gadis tersebut hilang dan anda dipaksa bayar bil yang tersangat mahal. Lebih buruk, anda diberikan minuman mempunyai dadah atau dirompak.

*****

Aduh, macam-macam cara manusia zaman sekarang ni guna untuk cari dulu. Korang kalau travel tu hati-hati ya. jangan mudah percaya sikit dengan orang yang baru kenal.