Koh Lipe Syurga Makanan Thailand

FOODIE
March 25, 2019 - 03:00 PM


Kalau anda bercuti ke Koh Lipe, Thailand jangan risau tentang mendapatkan makanan halal di sana.

Walaupun hampir 90 peratus penduduk asal di pulau ini beragama Buddha, namun selebihnya adalah beragama Islam dan mereka berpeluang mengamalkan ajaran Islam apatah lagi terdapat sebuah masjid dinamakan Masjid Al-Marhamah di sana.

Jadi, banyak gerai dan kedai makan halal di Koh Lipe yang boleh anda singgah untuk menjamu selera terutama hidangan hasil laut yang segar.

Kebanyakan kedai beroperasi dari pukul 10 pagi hingga tengah malam tetapi ada juga yang beroperasi hingga awal pagi.

Istimewanya kebanyakan mereka yang berniaga di sini adalah dari Satun dan tak hairanlah ramai dalam kalangan peniaga boleh berbahasa Melayu dengan dialek utara kerana berhampiran dengan Perlis.

Jom kita usha tempat makan best ini:-

 

#1. Roti Mina Restaurant

Restoran ini terletak di deretan kedai makan yang sememangnya menjadi kawasan tumpuan pelancong di Walking Street.

Dah namanya pun Roti Mina dah tentu menu paling popular ramai orang cari di sini ialah penkek pisang Nutella, roti boom, roti canai dan pelbagai penkek berperisa yang boleh dipesan mengikut selera masing-masing.

Selain itu, di sini juga terdapat hidangan Tomyam yang lazat, nasi goreng, pulut ayam goreng dan pulut mangga yang wajib dicuba.

Paling penting jangan lupa pesan juga minuman Thai Iced Tea mereka, yang ramai kata ia antara yang terbaik di seluruh Koh Lipe.

 

#2. Bung Roon Halal Food

Macam yang anda tahu, Koh Lipe ni terbahagi kepada 3 jenis pantai iaitu Pattaya Beach, Sunrise Beach dan Sunset Beach.

Bung Roon Halal Food ni terletak di kawasan Pattaya Beach.

Di sini adalah syurga makanan laut yang selalu pelancong cari untuk isi perut kalau berada di pulau.

Mana taknya, sebut je nak makan apa.. ikan, udang, ketam, sotong, kerang, semua ada.

Tinggal nak pilih, timbang dan ia akan dimasak segar-segar ikut masakan yang anda mahukan seperti Tomyam, Green Curry, goreng, bakar dan sebagainya.

Kredit Gambar: Big Map Thailand

 

#3. Andaman Restaurant

Restoran ini antara yang wajib anda cuba kalau ke Koh Lipe. Ia terletak di bahagian Sunrise Beach.

Selain pelbagai menu yang semuanya sedap-sedap belaka, paling best di sini ialah anda dapat menikmati hidangan dalam suasana romantik dan mendamaikan di dalam pondok-pondok kayu betul-betul di tepi pantai menghadap ke laut.

Antara menu yang harus dicuba ialah ikan goreng bersalut sos ikan bersama salad mangga, ikan 3 rasa, udang bakar, sotong stim cili dan sos lemon, salad betik bersama ketam serta Pad Thai dia memang padu!

 

#4. Tas Neem Halal Food

Di sini adalah antara port sarapan paling best di Koh Lipe.

Pelbagai kuih-muih tradisional Thailand yang jarang anda temui boleh didapati di gerai ini, tak terkecuali juga Nasi Komok (ala-ala nasi beriani Thai), bubur nasi dan pulut ayam.

Pemilik kedai ini bernama Rahmat dan beliau sangat peramah malah boleh berbahasa Melayu. Kedai ini terletak di kawasan Pattaya Beach dan berdekatan dengan 7-Eleven.

 

#5. Gerai Minuman Buah-Buahan

Berada di pulau yang panas sememangnya boleh menyebabkan kita selalu berasa dahaga.

Tapi jangan risau sebab di sepanjang Walking Street terdapat deretan pelbagai kedai minuman yang menjual jus buah-buahan segar dan juga ais krim kelapa yang boleh melegakan tekak.

Baca juga: Koh Lipe – ‘Maldives’ Di Thailand

 

 

Destination: