Nak Travel Tapi Tengah Hamil? Boleh, Asalkan Ikut 8 Tip Ini!

April 09, 2019 - 04:27 PM


Siapa kata wanita hamil tak boleh berjalan-jalan untuk travel ke luar negara?

Sedangkan ketika mengandunglah sebenarnya wanita amat memerlukan masa bercuti “babymoon” untuk berehat dan berseronok sebelum dilanda kesibukan tugas menjaga bayi selepas lahir nanti.

Tapi, menurut pakar perubatan, wanita digalakkan untuk pergi melancong ketika berada dalam trimester kedua. Itupun jika dibenarkan oleh doktor.

Berikut adalah tip / senarai semak yang perlu dilakukan oleh seseorang wanita sebelum mereka travel semasa mengandung.

 

#1. Semak Polisi Syarikat Penerbangan

Ini perkara utama yang perlu dilakukan sebelum memulakan perancangan travel bagi wanita mengandung.

Sila buat semakan dengan syarikat penerbangan terlebih dahulu kerana mungkin ada polisi yang berbeza walaupun secara amnya hampir sama dan minggu ke-36 adalah minggu terakhir dibenarkan untuk menaiki pesawat.

Di sini adalah senarai polisi bagi syarikat penerbangan dari Malaysia:-

AIRASIA

Minggu ke 27: Wajib sign Limited Liability Statement semasa waktu check-in

Minggu ke 28-34: Wajib sign Limited Liability Statement semasa waktu check-in & perlu ada surat doktor.

Minggu ke 35: TAK DIBENARKAN MENAIKI PESAWAT

 

MALAYSIA AIRLINE

Sekiranya anda melakukan perjalanan ketika hamil wajib ada surat doktor.

Minggu ke 36: TAK DIBENARKAN MENAIKI PESAWAT

 

FIREFLY

Minggu ke 36 dan ke bawah: Dikehendaki mengisytiharkan kehamilan mereka dan lengkapkan serta tandatangan Borang Keluaran dan Indemniti.

Minggu ke 37: TAK DIBENARKAN MENAIKI PESAWAT

 

MALINDO

Minggu ke 27: Dikehendaki menandatangani Borang Pelepasan dan Indemniti.

Minggu ke 28 – 35: Tandatangan Borang Pelepasan dan Indemniti dan wajib ada surat doktor.

Minggu ke 35 ke atas: TAK DIBENARKAN MENAIKI PESAWAT

 

#2. Pilih Destinasi Percutian Dengan Bijak

Elakkan memilih destinasi percutian yang terlalu jauh dan memakan masa hingga berbelas jam di dalam pesawat.

Banyak destinasi menarik dan pantai yang cantik meskipun anda hanya bercuti di dalam Asia Tenggara.

Apa yang lebih penting adalah dahulukan keselesaan anda dan kandungan semasa tempoh perjalanan menggunakan pelbagai jenis kenderaan.

Ingat, jangan pilih destinasi percutian ke negara yang memerlukan anda diimunisasi / vaksinasi. Juga elakkan negara yang ada risiko penyakit bawaan seperti malaria, denggi atau zika.

 

#3. Periksa Kesihatan Dahulu Dengan Doktor

Pastikan anda berjumpa doktor dahulu untuk membuat pemeriksaan kesihatan supaya tiada sebarang kesulitan dialami sewaktu percutian nanti.

Dapatkan surat doktor yang mengandungi maklumat penting seperti tarikh jangka bersalin (EDD), pengesahan bahawa si ibu tiada komplikasi dalam kehamilan dan sihat (fit) untuk terbang.

Jangan lupa minta juga tip, nasihat dan saranan yang berguna daripada doktor anda untuk diamalkan sepanjang berada di negara orang.

Dan paling penting, bawa bersama laporan kesihatan dan ultra sound supaya boleh digunakan sebagai rujukan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini ketika anda travel nanti.

 

#4. Beli Insurans Perlindungan

Bagi anda yang berisiko dari segi kesihatan dan keselamatan, adalah lebih baik sekiranya mendapatkan insurans perlindungan semasa melancong.

“Sediakan payung sebelum hujan”, bak kata orang tua-tua!

 

#5. Bawa Vitamin & Ubat-Ubatan

Jangan lupa bawa sekali beberapa vitamin dan ubat-ubatan yang wajib diambil demi menjaga keadaan kandungan anda.

Bawa lebih sekiranya perlu untuk sebarang situasi yang tidak dijangka.

 

#6. Beri Nombor Telefon Doktor Anda Untuk Kes Kecemasan

Pastikan anda berkongsi nombor telefon individu-individu penting seperti suami, ahli keluarga atau doktor anda kepada pihak hotel atau rakan-rakan yang turut melancong bersama anda.

Ia bagi memastikan situasi semasa anda sentiasa diketahui jika berlaku sebarang kes kecemasan.

 

#7. Selit Makanan Ringan & Bantal Kecil

Normal bagi seorang wanita hamil untuk selalu merasa lapar.

Jadi pastikan anda sentiasa mempunyai bekalan makanan ringan seperti roti atau buah-buahan yang boleh dimakan sebagai alas perut.

Bagi keselesaan dalam perjalanan juga, sebaiknya bawa satu bantal kecil untuk digunakan sebagai alas duduk atau diletakkan di bahagian belakang bagi mengelak sakit pinggang atau kekejangan akibat terpaksa duduk lama di dalam pesawat.

 

#8. Kemas Barang Dengan Bijak

Wanita hamil sememangnya tidak digalakkan untuk mengangkat barang-barang yang berat kerana dibimbangi akan menjejaskan bayi dalam kandungan.

Oleh itu, pastikan anda bawa stok pakaian yang ringan tetapi selesa, dan kemas kesemua barang keperluan anda dengan teratur ke dalam bagasi agar ia mudah diseret dan tak memerlukan begitu banyak tenaga untuk membawanya.