Yeay, Sekarang Dah Boleh Bercuti Ke Langkawi. Pulau Tu Dah Diisytihar Zon Hijau!

TERKINI
October 20, 2020 - 04:12 PM


Jika sebelum ini, Pulau Langkawi pernah menggemparkan negara selepas pernah dilawati oleh pesakit positif COVID-19 -- namun kini kita boleh menarik nafas lega apabila destinasi pelancongan popular itu telah diisytiharkan sebagai zon hijau!

Ia selepas pesakit terakhir COVID-19 di pulau berkenaan telah dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Maliha (HSM) pada Selasa lalu.

Dengan perkembangan terbaharu itu, kini mana-mana pelancong yang berhasrat untuk berkunjung atau Cuti-Cuti Malaysia ke Langkawi sudah tidak perlu risau kerana keadaan di sana kembali normal dan mereka hanya perlu mematuhi segala SOP yang ditetapkan Kerajaan.

Perkara itu dilaporkan Harian Metro selepas memetik maklumat daripada Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail yang memaklumkan individu terakhir yang dibenarkan keluar dari hospital itu merupakan antara lima pesakit daripada kontak rapat Kluster Bah Ketil.

Sementara itu bagi menjamin keyakinan pelancong ke Langkawi -- 2 set alat pengimbas suhu berteknologi tinggi sumbangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi telah ditempatkan di Terminal Feri Penumpang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA).

Penggunaan alat pengimbas suhu canggih di dua pintu masuk utama ke pulau ini diyakini mampu menyaring pelawat yang berisiko COVID-19.

Untuk rekod, secara keseluruhan, Langkawi mencatat 10 kes COVID-19 bermula dengan kes pertama membabitkan pelancong dari Wuhan, China pada Februari lalu.

Sumber: Harian Metro

Artikel Berkaitan: Jaga-Jaga, 14 Lokasi Di Langkawi Sah Telah Dilawati Individu Positif COVID-19

Destination: