AFC B-19 : Malaysia Perlu Menang Untuk Layak Ke Peringkat Seterusnya

October 25, 2018 - 10:25 AM


Selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Tajikistan tempoh hari, skuad B-19 bola sepak negara berada di kedudukan yang sangat sukar. Menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D Kejohanan AFC nanti, Malaysia perlu menang dan fokus untuk mendapatkan 3 mata.

Apa yang lebih mengusarkan, dua pasukan teratas kumpulan Arab Saudi dan Tajikistan sudah hampir pasti ke peringkat seterusnya sekiranya perlawanan terakhir nanti hanya mencatat keputusan seri.

Arab Saudi hanya memerlukan 1 mata lagi untuk muncul sebagai juara kumpulan dan begitu juga Tajikistan jika mahu ke suku akhir. Tidak dinafikan, berdasarkan situasi semasa kumpulan D, kemungkinan akan wujud pakatan antara Arab Saudi dan Tajikistan.

Menyedari perkara tersebut mungkin terjadi, ketua jurulatih pasukan B-19 negara Bojan Hodak menegaskan bahawa tumpuan semua pemain haruslah kepada China, dan pasukan negara perlu mengumpul tiga mata penuh.

Malaysia dijadualkan bertemu pasukan China pada 26 Oktober jam 7 malam di Stadium Pakansari, Cibinong.

Mengakui bahawa jika ada pakatan yang berlaku, ia ternyata diluar kawalan namun ia tidak perlu dirisaukan kerana Bojan yakin kedua-dua pasukan ingin menang seterusnya mengelak daripada bertemu Korea Selatan di peringkat seterusnya.

Ditanya mengenai keadaan terkini pasukan, Hodak memberi gambaran yang perancang utama Nik Akif berkemungkinan akan terlepas perlawanan menentang China akibat masalah kecederaan.

Apa-apa pun, kami di Rileklah berharap pasukan B-19 bakal menang dengan China dan lolos untuk ke peringkat seterusnya!