Iceland Bawa Nama "Itali" di Piala Dunia di Russia 2018

May 30, 2018 - 01:11 PM


Yang mana peminat pasukan Itali dah boleh sokong pasukan Iceland dah

Iceland akan membawa elemen Itali ke Piala Dunia di Russia apabila bertanding dalam pusingan akhir pertama mereka dengan jersi dibekalkan pengeluar pakaian sukan Itali - Errea.

Syarikat tekstil milik keluarga berpangkalan di Parma itu kali pertama diketengahkan di pasaran dunia yang sebelum ini didominasi syarikat gergasi pakaian sukan Nike, Adidas atau Puma.

Tampil dengan warna biru dan merah di lengan serta putih di kolar, jersi Iceland seperti juga bendera negara itu kelihatan di premis Errea di San Polo di Torrile, di pinggir bandar Parma.

Itali, juara dunia empat kali yang ditaja syarikat Jerman, Puma gagal menempah tiket ke Russia.

Errea adalah singkatan R dan A iaitu Rosanna dan Angelo Gandolfi, iaitu pengasas syarikat itu dan anak mereka, Roberto dan Annalisa, yang kini mengendalikan syarikat itu.

Jersi mereka dipakai pasukan bola tampar Perancis, kelab Serie B Pescara dan Parma, Queens Park Rangers di England, serta kelab ragbi Perancis, Agen dan Perpignan.

Kerjasama di antara Errea dan Iceland yang berlanjutan sehingga 2020, bermula pada 2002.

"Dengan kempen Euro 2016 yang cemerlang di Perancis ia memberikan imej terbaik untuk pasukan dan  peminat mereka." - AFP