KLFA Tak Bayar Gaji 2 Bulan, Syazwan Andik Kembali Ke Pangkuan JDT

January 14, 2019 - 11:11 AM


Syazwan Andik, antara nama-nama yang disebut selepas kejohanan AFF Suzuki 2018. Sebelum ini, Syazwan Andik dikhabarkan masih mempunyai baki kontrak bersama pasukannya iaitu Kuala Lumpur dan beberapa pasukan telah menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan pasukan kebangsaan ini.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menetapkan klausa pelepasan perpindahan sebanyak RM1.6 juta ke atas kontrak Syazwan. Ternyata harapan KLFA untuk mendapatkan wang tersebut terkubur sebab Syazwan telah menamatkan kontrak bersama KLFA.

Bukan memandai, tapi perkara tersebut ada dinyatakan dalam kontrak Syazwan Andik iaitu jika tidak mendapat gaji selama dua bulan, kontrak itu boleh ditamatkan. Jadi, beliau adalah pemain ‘free agent’ dan mana-mana pasukan berhak mendapatkannya.

 

Semalam, menerusi laman media sosial rasmi pasukan, Johor Southern Tigers, pasukan JDT mengumumkan bahawa Syazwan Andik kini bermain untuk mereka.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Sukan JDT, pihaknya berminat untuk mendapatkan khidmat Syazwan Andik setelah kontrak asalnya bersama KLFA terbatal kerana masalah gaji.

Setelah dikaitkan dengan pasukan Selangor dan Melaka United, Syazwan akhirnya kembali menyertai JDT. Beliau mengikuti jejak langkah rakan sepasukan dalam skuad bawah 23 tahun negara, Akhyar Rashid yang sebelum menyertai juara lima kali Liga Super itu. Klausa perpindahan Akhyar bernilai RM12 Juta.