Messi Sekali Lagi Di 'Boo' Penyokong PSG, Kepulangan Semula Ke Barcelona Makin Kuat

SUKAN
April 04, 2023 - 02:01 PM


Lionel Messi sekali lagi diejek oleh penyokong kelabnya sendiri selepas Paris Saint-Germain (PSG) kalah di laman sendiri buat kali kedua berturut-turut, tumpas 0-1 kepada Lyon dalam perlawanan Ligue 1 semalam.

Anak-anak buah Christophe Galtier mengalami kekalahan kelima musim ini, namun masih mendahului liga dengan 66 mata, enam mata mengatasi Lens ketika saingan masih berbaki sembilan perlawanan.

Messi, 35, dikaitkan dengan kepulangan semula ke Barcelona selepas kontraknya bersama PSG tamat hujung musim ini, ditambah pula dengan ­penyingkiran pasukan itu pada peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara.

Ejekan kedengaran ketika nama kapten Argentina itu diumumkan sebelum perlawanan bermula, dan ia berterusan sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan setelah jaringan tunggal Bradley Barcola pada minit ke-56 menghukum PSG.

Bulan lalu, Messi turut diejek oleh penyokong ketika meninggalkan padang selepas PSG dimalukan 0-2 oleh Rennes di Parc des Princes.

PSG juga bernasib baik tidak kalah de­ngan jaringan lebih besar selepas sepakan penalti yang diambil oleh Lyon menerusi Alexandre Lacazette sekadar terkena tiang.

Destination: