Palestin Terpaksa Tarik Diri, Gagal Terbang Ke Pestabola Merdeka

SUKAN
October 10, 2023 - 05:28 PM


Seperti sedia maklum, kemelut dan asakan dari Israel terhadap rakyat Palestin semakin memuncak. Ribuan nyawa telah terkorban. Disebabkan itu, pasukan Palestin terpaksa menarik diri daripada menyertai Pestabola Merdeka edisi ke-42 ini kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa format pertandingan Pestabola Merdeka 2023 adalah dikekalkan biarpun disertai hanya tiga pasukan iaitu Malaysia, India dan Tajikistan.

Berdasarkan jadual asal, Palestin dijadualkan bertemu Tajikistan (4.30 petang), manakala Malaysia berdepan India (9 malam) pada Jumaat, 13 Oktober 2023.

Kedua-dua pasukan yang tewas akan merebut tempat ketiga (4.30 petang), manakala dua pasukan yang menang akan ke final (9 malam) pada Selasa, 17 Oktober 2023 dengan kesemua empat perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun berdasarkan situasi terbaharu, Malaysia kekal bertemu India pada Jumaat ini di Stadium Nasional, manakala Tajikistan akan mendapat ‘bye’ dan akan terus layak ke Final pada Selasa, 17 Oktober 2023 (9.00 malam) di Stadium Nasional untuk bertemu pemenang perlawanan Malaysia dan India.

Ini bermakna, hanya satu perlawanan akan berlangsung pada Jumaat, 13 Oktober 2023 dan satu perlawanan pada Selasa, 17 Oktober 2023 iaitu tiada perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari tersebut.

Perubahan format tersebut adalah solusi terbaik yang telah dicapai pada mesyuarat khas di antara FAM selaku penganjur Pestabola Merdeka 2023 bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan, pagi tadi selepas mengambil kira kekangan masa berikutan penarikan diri pasukan Palestin.

Sementara itu, untuk bersikap adil kepada kira-kira 25,000 penyokong yang telah pun membeli tiket bagi menyaksikan kedua-dua Hari Perlawanan pada 13 dan 17 Oktober itu, FAM mengambil keputusan untuk mengekalkan harga tiket berkenaan (bagi semua kategori) biarpun kini membabitkan hanya satu perlawanan pada setiap Hari Perlawanan tersebut.

Tiket-tiket masih boleh dibeli di https://bit.ly/tiketpestabola dan penjualan tiket hanya secara dalam talian iaitu tiada penjualan tiket secara fizikal di stadium pada hari perlawanan nanti.

Destination: