Pelik Tapi Wujud! Ini 5 Acara Sukan "Rare" Mungkin Anda Tidak Pernah Tahu

June 08, 2018 - 12:37 PM


Mesti korang pun tak pernah denga kan sukan-sukan ini. Aku pun baru kali pertama tengok sukan pelik ni, nampak pelik dan memang pelik. Pasti seronok kalau sukan-sukan ini di pertandingkan di peringkat Olimpik.

Tidak dinafikan sukan adalah sesuatu yang sangat digemari di kalangan masyarakat sedunia. Sesuatu pertandingan boleh menyatukan banyak negara dalam satu-satu masa. Sokongan dari peminat di tepi padang, tubuh mereka diconteng dengan pelbagai warna, menonton sambil menikmati makanan di rumah dan bertelagah untuk mempertahankan pasukan masing-masing.

Sukan seperti bola sepak atau golf sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat pada hari ini namun ia mungkin sesuatu yang agak pelik ketika pertama kali dipertandingkan. Bagaimanapun, terdapat beberapa jenis sukan yang aneh dan unik yang mungkin kita semua masih belum pernah saksikan.

Berikut adalah beberapa jenis sukan yang pelik dan mungkin ini adalah kali pertama anda tahu mengenainya.

Hoki Air

Hoki adalah sejenis sukan yang 'keras', tiada belas kasihan dengan tempo permainan pantas yang boleh mematahkan tulang-belulang anda dengan kerap. Anda mungkin menganggap sukan berpasukan seperti hoki tidak boleh menjadi lebih ekstrem, tetapi pada satu hari, sekumpulan orang yang 'gila' memutuskan bahawa hoki yang biasa belum cukup menakutkan. Jadi mereka membawa kayu hoki mereka, membuang 'puck'(bola hoki) ke dalam kolam renang, dan menyenaraikan "kehabisan oksigen" ke dalam senarai risiko yang mungkin dihadapi.

Kenali hoki air, juga dikenali dengan nama yang lebih 'lembut' iaitu "Octopush." Hoki air bermula pada 1950-an, dan terdapat kejohanan dunia bagi sukan ini. Caranya sama sahaja dengan permainan hoki biasa, menggunakan kayu hoki untuk memukul 'puck' ke dalam gol, bezanya cuma segalanya dimainkan di dalam kolam renang. Permainan Octopush biasanya dimainkan selama 33 minit, 15 minit bagi setiap separuh masa dan juga 3 minit untuk rehat. Jadi semestinya anda perlu bersedia untuk menahan nafas dengan lebih lama jika anda ingin menang.

Mungkin disebabkan oleh sifat permainan ini yang ekstrem, pemain yang baru belajar diberikan kayu pemukul yang berwarna oren, jadi pemain-pemain lain akan lebih bertolak ansur kepada mereka.. sekurang-kurangnya untuk permulaan.

Bola sepak basikal

Mungkin ini adalah kali pertama anda mendengar tentang permainan bola sepak sambil berbasikal, sesuatu yang agak pelik. Tetapi, mungkin satu ketika dahulu permainan bola lisut juga dianggap pelik ketika ia pertama kali dimainkan, namun kini ia menjadi satu sukan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Apa yang membuatkan bola sepak basikal menarik adalah ia tidak memerlukan sebarang peralatan yang khas, kecuali sebuah basikal(dengan sedikit pengubahsuaian) bagi setiap seorang pemain, jaring, dan bola yang sesuai. Kebanyakan peraturannya adalah sama dengan bola sepak biasa, jadi tidak banyak yang perlu dipelajari.

Walaupun sukan ini dilihat seperti sesuatu yang hanya dibuat secara suka-suka oleh sekumpulan remaja untuk dimuatkan ke dalam YouTube, sebenarnya ia memiliki sejarahnya yang tersendiri. Rakyat Eropah telah mula melibatkan diri dalam permainan ini sejak lewat abad ke-19, walaupun ketika itu ia lebih dikenali sebagai "radball."

Basikal yang digunakan dalam permainan Radball rasmi mempunyai pemegang yang dibuat secara menegak, dan ia juga mempunyai 'gear' yang tetap jadi pemain boleh mengayuh secara mengundur.

Kayak buah labu gergasi

Jika anda fikir buah labu hanya boleh digunakan untuk dijadikan makanan, anda mungkin terkejut dengan cerita ini. Menurut Time, sejenis labu gergasi yang seberat 800 paun boleh dinaiki dan digunakan sebagai kayak. Walaupun bentuknya sedikit aneh, orang-orang dari seluruh dunia telah menggunakan 'kapal' berwarna oren mereka ini dalam perlumbaan untuk menentukan siapa yang mampu mengayuh buah labu mereka dengan paling pantas. Menurut National Geographic, orang-orang ini telah memacu kayak labu mereka sejauh 26 batu, dalam tempoh 14 jam yang memenatkan yang oenuh dengan aksi-aksi lucu.

Apa yang paling menyeronokkan dalam kayak labu gergasi adalah ia sememangnya melibatkan aktiviti 'DIY' yang sebenar, dimana orang-orang ini menanam dan membesarkan labu mereka sendiri, menebuk lubang padanya, dan menggunakannya di permukaan air pada acara tempatan yang bermusim. Tiada modifikasi atau penggunaan motor dibenarkan: buah labu tersebut harus terapung dengan sendirinya dengan hanya anda dan pengayuh yang akan membuatkannya terus bergerak.

Regatta kayak buah labu dimainkan di serata lokasi, termasuk Nova Scotia, New England dan juga Pacific Northwest.

Gusti Ibu Jari Kaki

Kita semua pernah bermain 'gusti ibu jari tangan' di zaman persekolahan, kemudian diteruskan pula dengan gusti lengan. Tetapi pertandingan yang melibatkan bahagian tubuh badan buakan setakat itu sahaja. Terdapat satu acara yang dianggap sebagai sejenis sukan yang serius iaitu gusti ibu jari kaki. Apa yang menarik, terdapat Kejuaraan Gusti Ibu Jari Kaki Sedunia dan ia diadakan di Derbyshire, England. Menurut Reuters, kemenangan sentiasa berpihak kepada England.

Kaki peserta-peserta akan digosok sebelum pertandingan, untuk melonggarkan dan merehatkan otot-otot kaki mereka. Apabila pertandingan dimulakan, para peserta akan cuba mengunci dan 'menjatuhkan' ibu jari kaki lawan masing-masing untuk menjadi pemenang. Walaupun disertai oleh lelaki dan wanita, perlawanan antara jantina yang berlainan adalah dilarang

Tradisi tahunan ini dimulakan oleh tuan tanah kepada satu 'pub' pada 1976, jadi acara ini memiliki sejarah yang lama di sebalik penganjurannya. Sukan ini sebenarnya agak menyakitkan, Alan "Nasty" Nash, juara dunia bagi tahun 2017, telah patah beberapa jari pada perlawanan separuh akhir namun masih berjuang sehinggalah beliau muncul juara.

Luncur Gunung Berapi

Menaiki papan luncur di jalanan? Tiada masalah. Meluncur ombak di pantai? OK! Meluncur di pergunungan yang diliputi salji? Menarik, dan ramai orang sukakannya. Bagaimanapun, jika anda mahu menikmati percutian di Nicaragua, cara terbaik adalah dengan meluncur di atas debu di kawasan gunung berapi yang aktif, dengan kelajuan yang menjangkau 60 batu per jam.

Meluncur di kawasan gunung berapi adalah acara sukan yang sudah lama di Nicaragua, dimana rakyat tempatan selalunya berlumba di atas lumpur hitam gunung berapi dengan menggunakan papan luncur sehinggalah kain selimut lama yang sudah berhabuk. Pada hari ini, luncur gunung berapi adalah lebih lancar, berterima kasih kepada papan luncur yang dibuat khas dan juga pakaian pelindung yang dibekalkan. Walaupun acara ini boleh menjadi sesuatu yang sangat bahaya, peminat-peminat acara ini sangat teruja dengannya dari segala segi. Kelajuan, bauan dari sulfur di sekeliling, dan pemandangan larva yang sedang mendidih adalah satu pengalaman yang sangat berbeza dan menarik.

Tambahan lagi, apabila diambil kira perbalahan untuk menentukan siapa yang lebih hebat dalam melakukan sesuatu, tiada sesiapa mampu mengalahkan anda jika anda mengatakan, "Kawan-kawan, aku telah meluncur di atas gunung berapi yang aktif!