Piala Thomas: Malaysia Mudah Ke Suku Akhir, Aksi Lawan Denmark Penentu Juara Kumpulan

SUKAN
April 29, 2024 - 10:56 AM


Skuad badminton lelaki negara berjaya mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China selepas menewaskan Algeria 5-0 pada aksi Kumpulan D.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Hi-Tech Zone itu, Malaysia tidak berdepan sebarang masalah apabila hanya memerlukan masa 1 jam 55 minit sahaja untuk membenam pasukan dari Afrika itu. 

Jaguh perseorangan, Lee Zii Jia mengekalkan rentak cemerlang ketika bertemu Hong Kong semalam apabila mencatat kemenangan mudah 21-8, 21-6 ke atas Adel Hamek bagi meletakkan Malaysia berada 1-0 di depan. 

Cheam June Wei yang tidak diturunkan dalam aksi sebelum ini diberi kesempatan untuk beraksi sebagai perseorangan kedua dan berjaya menewaskan Youcef Sabri Medel 21-9, 21-14.

Pasangan beregu Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri pula terus meletakkan Malaysia selesa 3-0 di depan apabila mencatat kemenangan 21-8, 21-3 ke atas Sifeddine Larbaoui-Mohamed Abdelaziz Ouchefoun dalam tempoh 17 minit.

Malaysia terus berada dalam kedudukan yang lebih selesa apabila Justin Hoh memastikan pasukan negara mendahului 4-0 selepas mudah membenam cabaran Mohamed Abderrahime Belarbi 21-10, 21-14. 

“Hari ini saya fokus kepada rentak permainan dan bermain secara rali selain bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya. Sekiranya ada peluang, sudah tentu saya mahu bermain menentang Denmark nanti,” kata Justin sejurus tamat perlawanan.

Nur Izzuddin Rumsani-Soh Wooi Yik kemudiannya melengkapkan kemenangan bersih skuad negara apabila menewaskan gandingan Koceila Mammeri-Sabri Medel 21-13, 21-9 dalam tempoh 24 minit. 

Selepas mengesahkan tempat ke suku akhir, Malaysia mengalihkan fokus untuk aksi menentang Denmark Selasa ini yang bakal menentukan pasukan manakah akan melangkah ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan D. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: