Salah Tak Salah Dan Tak Akan Didakwa Kerana Menggunakan Telefon Ketika Memandu

October 12, 2018 - 11:50 AM


Bintang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah tidak akan didakwa untuk sebarang perlakuan jenayah berkaitan penggunaan telefon bimbit ketika memandu kenderaan. Pada Ogos lalu, satu rakaman video menjadi tular di media sosial yang memaparkan Salah menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Kenderaan yang dipandu oleh Salah bergerak perlahan pada ketika itu akibat kesesakan jalan raya, dan dikerumuni oleh beberapa individu yang ingin mendapatkan tandatangan pemain tersebut selepas Liverpool menang 4-0 ke atas West Ham.

Berita ini telah disahkan oleh Liverpool FC sendiri dan turut membawa insiden berkenaan kepada pihak polis, sebelum Salah disahkan tidak akan didakwa pada Khamis lalu.

“Kami boleh mengesahkan telah bercakap dengan seorang lelaki berusia 26 tahun mengenai satu insiden di Arkles Lane, Liverpool pada 12 Ogos lalu,” - polis Merseyside

Bagaimanapun Salah tetap akan di beri khidmat nasihat mengenai penggunaan telefon bimbit ketika sedang memandu. 

Di United Kingdom, ianya adalah satu kesalahan jenayah untuk menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu. Undang-undang tersebut turut termasuk ketika pemandu sedang berhenti di lampu isyarat atau berada di dalam kesesakan jalan raya.

Bintang Liverpool dari Mesir itu adalah pemain terbaik tahunan Liga Inggeris pada musim lalu selepas menjaringkan 41 gol pada musim pertama di Anfield.

Pemain tersebut bagaimanapun sehingga kini hanya menjaringkan tiga gol dalam semua pertandingan musim ini.