Skuasy – Laluan Mudah Acara Perseorangan Buat Nicol David

August 23, 2018 - 11:37 AM


Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David bakal membuat penampilan pertama dalam tempoh 21 tahun di Jakarta. Di atas kertas, laluan Nicol menyaksikan dia berpeluang untuk melebarkan rekod sebagai atlet Malaysia yang paling berjaya dalam sejarah Sukan Asia dengan pungutan enam pingat emas setakat ini.

Nicol mendapat unduan mudah melalui acara perseorangan apabila mendapat laluan percuma pada pusingan pertama sambil menunggu lawan dari Mongolia atau China untuk peringkat seterusnya.

Pusat Skuasy Gelora Bung Karno akan dibuka untuk acara skuasy pada esok dan sekiranya lolos semua perlawanan, Nicol akan dijangka bertemu pemain ranking ke-11 dunia iaitu Annie Au dari Hong Kong dalam perlawanan akhir nanti.

Selain acara perseorangan, Nicol akan mempertahankan emas berpasukan wanita yang dimenangi di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Dalam acara berpasukan, Malaysia akan diwakili oleh Low Wee Wern, S. Sivasangari dan Aifa Azman.