TMJ Berminat Join Arena Perlumbaan Motosikal, Hafizh Syahrin Sah Sertai JDT Racing Team

SUKAN
January 22, 2024 - 03:47 PM


Sebut sahaja tentang Johor Darul Takzim (JDT) pasti kita semua akan terbayang dengan pasukan bola sepak tempatan yang mendominasi liga super Malaysia. 

November lepas, pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mengumumkan hasrat untuk menyertai arena perlumbaan motosikal dengan menubuhkan pasukan JDT Racing Team .

Kini, perbincangan awal telah berlangsung melibatkan Tunku Ismail dan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah. Kedua-dua watak penting itu bertemu dalam satu majlis di Johor Bahru yang menandakan permulaan projek baharu ini dan turut dihadiri Valeriano Rodriguez, pengurus teknikal JDT Racing Team.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi JDT yang turut memperlihatkan Tunku Ismail membawa Hafizh Syahrin dan tetamunya melawat garaj kereta miliknya.

“Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor telah bertemu Hafizh Syahrin, pelumba dan Valeriano (Rodriguez) untuk berbincang mengenai pembentukan pasukan menjelang kempen musim 2024.

“Bulan lalu, JDT mengumumkan niat untuk memasuki arena perlumbaan motosikal dengan pelumba terkemuka Malaysia itu.

“JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak,” tulis hantaran itu.

Denga prestasi yang kurang memberangsangkan oleh pelumba negara, diharap kerjasama ini akan mengembalikan semula zaman gemilang permotoran tempatan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Sumber: Sinar Harian

Destination: