Ingat Glamping Dalam Hutan Je, Siapa Sangka Sekarang Glamping Dalam Airport Pun Ada!

November 26, 2020 - 04:02 PM


Kalau sebut tentang glamor camping atau 'glamping' pasti ramai yang membayangkan untuk berkhemah di dalam hutan dan di atas bukit atau paling tidak berdekatan dengan sumber alam semulajadi yang memberi ketenangan serta kedamaian untuk percutian mereka.

Namun pernah tak anda terfikir untuk glamping di tengah-tengah lapangan terbang? Giler, kan?!

Tapi anda jangan tak tahu memandangkan ketika ini industri penerbangan dunia tengah 'berperang' dengan penularan wabak COVID-19 -- namun Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura tampil dengan idea kreatif dan menawarkan pengalaman glamping kepada pengunjung yang ingin merasai kelainan ketika berada di republik itu.

Pengunjung boleh memilih untuk menginap di Shiseido Forest Valley yang turut mempunyai pemandangan menyegarkan dari HSBC Rain Vortex yang cukup gah.

Changi dalam kenyataan memberitahu glamping itu dibuat bagi memberi peluang kepada rakyat negara itu bercuti dengan cara berbeza tatkala COVID-19 masih melanda.

Terdapat 2 lokasi yang boleh dipilih pengunjung iaitu Cloud9 Piazza atau Forest Valley.

Pengunjung akan diberikan sebuah khemah besar dan tempat tidur bersaiz queen serta satu ukuran single.

Bukan itu sahaja, malah khemah penginapan itu juga lengkap dengan peti sejuk, kelengkapan mandi, penghawa dingin serta boleh menggunakan bilik mandi di Changi Lounge.

Setiap khemah glamping mempunyai 2 saiz iaitu yang boleh memuatkan 3 orang dewasa atau 2 dewasa serta 2 kanak-kanak.

Tidak hanya merasai pengalaman glamping di kawasan lapangan terbang, pengunjung juga diberi akses eksklusif masuk ke Changi Experience Studio atau Manulife Sky Nets - Bouncing, Canopy Park, Sparkling Christmas di Jewel atau boleh bermain permainan Jurassic Mile Dino, Jewel Privilege Pass dan tempat letak kereta percuma.

Bagi yang lebih gemar berkhemah pada siang hari, Changi juga menyediakan glampicnic di mana pengunjung boleh bersantai dalam suasana taman yang indah dan sejuk.

Sumber: Mstar

Destination: