Akibat Bersembang & Langgar Lampu Merah, Remaja Parah Dirempuh X50

TERKINI
February 29, 2024 - 11:37 PM


Seorang remaja parah manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal dinaiki mereka yang melanggar lampu isyarat merah dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan Paya Rambai, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.54 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 17 tahun dan merupakan rakan sekerja dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud, siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika sebuah SUV jenis Proton X50 yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Berek 12 ke Lundang di sini.

Menurutnya, semasa tiba di persimpangan lampu isyarat Paya Rambai, SUV tersebut merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja terbabit.

“Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, motosikal tersebut datang dari arah Wisma Persekutuan menghala ke Demit, Kubang Kerian.

“Penunggang motosikal terbabit didapati melanggar lampu isyarat merah sebelum dirempuh SUV berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal cedera parah pada bahagian kepala dan kini dirawat di di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II manakala rakannya luka di kaki.

Menurutnya, pemandu Proton X50 bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Destination: