Arab Saudi Bakal Perkenal Teksi Terbang Untuk Angkut Jemaah Haji

TERKINI
January 16, 2024 - 04:20 PM


Arab Saudi sekali lagi bakal mencipta sejarah apabila laporan dari Gulf Business melaporkan perkhidmatan teksi terbang bakal diperkenalkan sebagai perkhidmatan pengangkutan yang akan menjemput bakal jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke hotel di Makkah.

Difahamkan, Pengarah Komunikasi dan Korporat Kumpulan Saudia, Abdullah Al-Shahrani berkata Saudi Arabian Airlines sedang membuat persiapan untuk menggunakan teksi udara sebagai mod pengangkutan baharu semasa musim haji.

Tambah beliau lagi, Kumpulan Saudia bersetuju membeli 100 jet Lilium, pesawat lepas landas dan pendaratan menegak elektrik Jerman (eVTOL).

Kegunaan teksi terbang itu adalah untuk ulang-alik antara lapangan terbang di Jeddah dan lapangan terbang di hotel Makkah berhampiran Masjidil Haram dan tempat suci lain.

"Pesawat elektrik Lilium adalah salah satu pesawat pertama yang beroperasi sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik.

"Setelah menyelesaikan urusan yang diperlukan, pesawat ini akan terbang bersama tetamu Allah pada musim Haji dan Umrah dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke lapangan terbang di hotel berhampiran Masjidil Haram di Makkah," katanya kepada Al-Arabiya.

Pesawat elektrik Lilium itu boleh memuatkan empat hingga enam jemaah haji dan pesawat itu juga menampilkan kabin unik yang menawarkan beberapa pilihan untuk susunan tempat duduk.

Menurut info, pesawat tersebut mengeluarkan kadar pelepasan karbon yang rendah dan merupakan pesawat yang mesra alam. Ia juga dilengkapi dengan ruang yang luas bagi memenuhi keperluan tetamu di samping memberi pengalaman yang terbaik buat tetamu elit.

Menurut Al-Shahrani, Saudi Airlines akan berusaha untuk menyokong Lilium dengan menyediakan semua kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk mengendalikan pesawat jenis ini di pasaran Saudi.

 

Sumber: The Vocket

Destination: