Berkat Amal Doa Nabi Sulaiman, Seorang Lelaki Terselamat Dari 'Pak Belang'

TERKINI
December 14, 2023 - 11:43 AM


Pesanan guru silat yang menyuruh anak muridnya mengamalkan doa nabi Sulaiman dipercayai menjadi sebab seorang pemuda terselamat ketika terserempak dengan harimau belang dalam satu kejadian yang berlaku di kawasan ladang sawit berhampiran Taman Dovenby Fasa 2, Sungai Siput.

Hal tersbeut kepada Muhammad Luqman Haqim Muhamad Ghazali Lim, 22, yang pergi berseorangan ke kawasan kolam memancing yang terletak di dalam ladang kelapa sawit, tidak jauh dari rumahnya, untuk memancing ikan haruan berikutan isterinya yang baru melahirkan bayi sulung mereka. 

Pemuda itu sepatutnya pergi ke situ bersama dengan seorang rakan dikenali sebagai Hakimi, namun ketika itu Hakimi belum sampai. 

Menurut pemuda itu, ketika berseorangan di hutan dan sedang menunggu kedatangan Hakimi, dia ada terhidu bau seakan bau kambing jantan, namun tidak begitu menghiraukannya, sebelum dikejutkan dengan kehadiran harimau dewasa berkenaan.

"Saya hampir tidak pernah masuk hutan berseorangan kerana selalunya akan berteman, jadinya tadi (semalam) tergerak hati saya untuk membaca doa Nabi Sulaiman. Kemudiannya, saya pun pergi berseorangan menuju kolam pancing.

"Ketika hampir tiba di kolam itu, saya melihat sekeliling sebelum dikejutkan dengan penampakan harimau terbabit yang terus mengaum ketika itu dan betul-betul sedang memerhatikan saya, umpama kami saling bertentangan mata.... ketika itu jantung bagaikan mahu 'luruh'.

"Sejurus itu, saya kembali membaca doa Nabi Sulaiman sambil mengundur langkah beberapa langkah dalam jarak 10 meter sebelum terus lari sehabis mungkin menuju sebuah kuil berhampiran untuk meminta pertolongan," katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti sama ada harimau itu turut mengejarnya, itu namun mengakui sangat bersyukur kerana terselamat.

Selepas tiba di kuil, dia menceritakan kejadian itu kepada pihak pengurusan kuil berkenaan, namun pihak kuil tidak percaya akan ceritanya sehinggalah ngauman harimau kedengaran dalam tempoh beberapa minit selepas itu dan disusuli dengan bunyi monyet.

"Orang di kuil yang terletak di atas kawasan berbukit itu juga nampak situasi monyet lari di samping melompat-lompat seperti ada 'sesuatu' melalui kawasan itu.

"Kemudiannya, saya ke rumah kawan saya berhampiran situ untuk meminta bantuan untuk menghubungi pihak berkuasa seperti bomba dan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dan kawalan di lokasi berkenaan.

 

Sumber: Harian Metro

Destination: