Degil & Enggan Patuh Arahan, DBKL Bertindak Roboh Jeriji Besi Kaki Lima Di Flat Wangsa Maju

TERKINI
March 05, 2024 - 11:37 AM


Sebelum ini tular satu isu di mana seorang penduduk di sebuah di sebuah flat di Seksyen 2, Wangsa Maju yang mendirikan laluan halangan besi di unitnya.

Setelah pemilik unit enggan menurunkan halangan besi  biarpun telah diberi amaran terlebih dahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak memotong dan merobohkan struktur besi tersebut.

Halangan yang didirikan itu dibuat tanpa kelulusan sehingga menyusahkan penduduk lain. DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menjalankan Operasi Bersepadu Memotong dan Merobohkan Struktur Besi di lokasi berkenaan menerusi Jabatan Penguatkuasaan.

“Ia dilakukan dengan kerjasama Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (JKME), Jabatan Kawalan Bangunan dan Pejabat Cawangan Wangsa Maju serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi khas itu dijalankan selepas pemilik kediaman gagal mematuhi notis penguatkuasaan dikeluarkan pada 10 Januari lalu untuk membuka sendiri struktur besi yang dibina,” katanya.

DBKL berkata, pihaknya sudah merobohkan struktur besi yang dipasang tanpa kelulusan dan membuat halangan laluan koridor awam di kediaman itu.

“Ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Sisa struktur besi pula dipindahkan ke Stor JKME, Jalan Cheras, di sini, untuk tindakan lanjut dan dokumentasi proses pelupusan,” katanya.

Menurutnya, operasi berjalan lancar dengan kerjasama erat daripadasemua pihak yang terbabit.

“DBKL akan meneruskan tindakan sama di lokasi lain selepas ini,” katanya.

Destination: