"Gaji Minimum RM3,000 Buat Graduan Mungkin Jadi Kenyataan" - Zambry

TERKINI
March 14, 2024 - 03:42 PM


Isu gaji yang rendah disamping kos sara hidup yang meningkat sering menjadi keluhan rakyat di negara ini terutama dari golongan anak muda yang baru menamatkan pengajian.

Penawaran gaji yang tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan menjadi faktor golongan anak muda lepasan universiti memilih untuk menjadi penganggur atau melakukan kerja yang lari dari bidang. 

Dalam perkembangan terbaru dari pihak kerajaan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyatakan cadangan gaji minimum RM3,000 buat graduan mungkin akan diluluskan.

Memetik laporan Buletin TV3, cadangan itu telah dikemukakan di peringkat awal perbincangan antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia.

“Saya difahamkan akan ada cadangan kertas putih yang akan dibentangkan dan akan diserahkan kepada kedua-dua kementerian tersebut untuk menyediakan pendekatan dan cadangan baharu yang nak dikemukakan.

“Pendekatan yang mungkin dilaksanakan itu perlu mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), termasuk soal gaji graduan KPT,” katanya lagi. 

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya bersetuju selain mengharapkan pelaksaan cadangan tersebut dapat dilakukan secepat mungkin.

Namun begitu, terdapat juga netizen yang merasakan kenaikan tangga gaji itu mungkin sukar diikuti oleh pihak majikan sehingga muncul kemungkinan untuk golongan majikan hanya mengambil anak muda yang lepasan SPM dan STPM sahaja. 

 

Sumber: X & Buletin TV3

Destination: