Genjatan Senjata Selama 4 Hari Antara Israel Dan Hamas

TERKINI
November 22, 2023 - 03:29 PM


Perjanjian genjatan senjata antara Israel dan Hamas telah mendapat persetujuan Kabinet Israel. Keputusan tersebut dicapai selepas mesyuarat berlangsung selama beberapa jam, bermula semalam dan berpanjangan sehingga hari ini. 

Kumpulan pejuang Palestin, Hamas juga telah mengesahkan gencatan senjata sementara yang disetujui oleh kedua-dua pihak yang akan berlangsung selama empat hari.

Media Al Jazeera memetik satu kenyataan yang dikongsi oleh Hamas di Telegram, yang memberitahu, dalam tempoh empat hari tersebut Israel akan menghentikan tindakan ketenteraan di semua kawasan di Semenanjung Gaza, termasuk pergerakan kenderaan tentera.

Ratusan trak bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan dan bahan api, akan dibenarkan masuk ke Gaza selama tempoh genjatan senjata berlangsung.

Selain itu, pergerakan dron di selatan Gaza juga akan dihentikan sepanjang tempoh tersebut. Pihak Israel juga telah memberi jaminan dan komitmen untuk tidak menyerang atau menangkap sesiapa di semua kawasan di Semenanjung Gaza dan kebebasan bergerak akan dijamin di sepanjang jalan Salah al-Deen.

Hamas juga berkata bahawa 150 wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

 

Sumber: Astro Awani

Destination: