Halang Laluan Ambulans Sehingga Pesakit Meninggal, Pemandu Kembara Dikenakan Tindakan Oleh Polis

TERKINI
January 08, 2024 - 11:07 AM


Beberapa hari yang lalu, telah viral sebuah video yang menunjukkan sebuah kereta menghalang laluan ambulans yang sedang membawa pesakit kecemasan.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Sarawak. Dalam video tersebut, dapat dilihat bahawa pemandu kereta berkenaan tidak memberi laluan kepada ambulans walaupun siren kecemasan telah dibunyikan.

Selain itu menurut laporan dari Buletin TV3, gara-gara sikap pentingkan diri pemandu kereta Kembara berkenaan, pesakit yang berada dalam ambulans berkenaan telah meninggal dunia.

Polis Sri Aman menerusi Facebook telah mengeluarkan kenyataan tentang kejadian tersebut.

Pihak polis mengatakan bahawa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Sri Aman telah berjaya mengesan pemandu kereta terbabit dan pemandu kereta itu juga telah dikenakan tindakan di bawah Kaedah 9 Kaedah-kaedah Lalulintas 166/59 iaitu kesalahan tidak memberi laluan kepada ambulans.

Pihak polis juga mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memberi laluan kepada ambulans, kereta bomba dan kenderaan polis ketika di jalan raya.

“Semua lalu lintas hendaklah apabila diberi amaran tentang kehadiran apa-apa ambulans, kereta bomba mahupun kenderaan polis hendaklah memberi laluan yang lapang kepada kenderaan-kenderaan itu,” katanya.

 

Sumber: X, Facebook & Buletin TV3

Destination: