Hanya Kerana Pakai Dress Kaligrafi Arab, Wanita Pakistan Didakwa Hina Agama Islam

TERKINI
February 28, 2024 - 01:00 PM


Sebagai umat Islam, sudah menjadi kewajipan untuk kita mempertahankan agama dari dihina. Namun, Islam juga mengajar umatnya untuk mengkaji dahulu sesuatu perkara sebelum bertindak sesuka hati mengikut perasaan.

Di sebuah restoran di Pakistan pada Ahad lalu (25 Feb), berlaku satu kejadian dimana seorang wanita dikerumuni hampir 300 orang awam yang marah selepas dia didakwa telah menghina agama Islam.

Ia kerana wanita tersebut memakai baju yang mengandungi kaligrafi Arab dan orang ramai menyangka pakaian yang dipakai oleh wanita itu merupakan ayat suci Al-Quran.

Walau bagaimanapun, wanita itu berjaya diselamatkan oleh pihak polis Pakistan yang berada di lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam sekitar 1.10 tengah hari berhubung insiden terbabit.

Asisten Superintendan Syeda Shehrbano berkata, pihak polis terpaksa berunding dengan ratusan orang awam untuk menenangkan kekecohan yang sedang berlaku.

“Kami memberitahu mereka bahawa kami akan membawa wanita itu bersama kami, tindakan dia akan diambil kira dan kami menuntutnya bertanggungjawab atas apa juga jenayah yang dilakukan menurut undang-undang negara,” katanya.

Wanita itu kemudiannya dibawa ke balai polis sebelum beberapa ilmuan agama mengesahkan bahawa teks di atas baju itu adalah kaligrafi Arab dan bukannya ayat-ayat al-Quran. Difahamkan, kaligrafi yang tertera pada pakaian itu adalah ‘Halwa’ yang bermaksud ‘cantik’ dalam bahasa Arab.

Ilmuan-ilmuan agama itu tampil dalam satu video untuk memberi penjelasan dan wanita berkenaan turut membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya tidak mempunyai niat sedemikian, ia berlaku secara tidak sengaja. Bagaimanapun, saya memohon maaf atas segala yang berlaku dan saya akan memastikan ia tidak berulang lagi,” kata wanita terbabit.

Di Pakistan, terdapat undang-undang yang melarang tindakan bercakap secara keji atau tidak hormat kepada tuhan atau perkara suci. Jika disabit bersalah, hukuman mati akan dikenakan.

 

Sumber: X

Destination: