Jambatan Di Baltimore Runtuh Dilanggar Kapal Berbendera Singapura

TERKINI
March 27, 2024 - 11:32 AM


Semalam (26 Mac), dunia digemparkan dengan insiden sebuah jambatan utama di bandar Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat (AS) yang runtuh selepas dilanggar sebuah kapal.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 20 orang serta beberapa kenderaan terjunam ke dalam air di bawah jambatan terbabit.

Pasukan penyelamat berjaya menjumpai dua orang individu dipercayai pekerja pembaikan jalan sebelum salah seorangnya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa dihentikan kira-kira selepas 18 jam tragedi itu, kata pihak berkuasa.

Lapor salah seorang pegawai, semasa kemalangan berlaku, lapan pekerja (dua selamat, enam hilang) itu sedang menampal lubang yang ada di atas jalan di jambatan terbabit.

Memetik Reuters, pihak berkuasa tempatan mengesahkan sekurang-kurangnya enam pekerja pembaikan jalan tersebut dilaporkan hilang yang berkemungkinan telah meninggal dunia.

Pegawai Pengawal Pantai AS dan Polis Maryland berkata, berdasarkan kepada suhu air sungai yang sejuk dan tempoh yang telah berlalu sejak jambatan itu runtuh, peluang sangat tipis untuk menjumpai keenam-enam mangsa itu.

Tragedi mula berlaku selepas kapal kontena berbendera Singapura yang dikenali sebagai Dali itu sedang meninggalkan pelabuhan di Baltimore menuju ke Sri Lanka sebelum merempuh tiang sokongan jambatan berkenaan pada jam kira-kira 1.30 pagi Selasa.

Sementara itu, pengurus kapal Dali memaklumkan punca pelanggaran itu masih disiasat.

"Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan agensi persekutuan dan negeri AS. Kesemua kru kapal Dali yang dalam perjalanan menuju ke Colombo di Sri Lanka disahkan selamat," ujarnya. 

Difahamkan, rakaman kejadian itu menunjukkan Dali 'blackout' sebanyak dua kali sebelum pelanggaran itu berlaku dan ia mungkin berpunca daripada kegagalan kuasa. 

Satu lagi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial juga menunjukkan kapal kontena itu seakan mengalami masalah bekalan tenaga elektrik sebelum melanggar tapak jambatan Francis Scott Key sehingga keseluruhan stuktur binaan keluli itu runtuh ke Sungai Patapso.

 

Sumber: Reuters 

Destination: