"Jangan Ganggu-Gugat Status & Kedudukan UiTM" - Ulas Dira Abu Zahar Tentang Cadangan Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera

TERKINI
May 07, 2024 - 02:20 PM


Umum mengetahui Malaysia mempunyai 20 Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan antara institusi tersebut adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Namun, apa yang membezakan UiTM dengan IPTA yang lain adalah kriteria istimewanya di mana kemasukan ke institusi tersebut hanya terbuka untuk golongan bumiputera. 

Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, wujud cadangan agar golongan bukan bumiputera turut diberi peluang bagi mengikuti pengajian di institusi tersebut. 

Cadangan tersebut mula tercetus apabila Prof. Dr. Raja Amin Raja Mokhtar mendedahkan bahawa UiTM bersetuju membuka program berkenaan secara sementara kepada graduan bukan bumiputera bagi kursus pengajian pascasiswazah. 

Hal tersebut mendapat perhatian Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang mohon agar kedudukan dan status UiTM tidak diganggu gugat. 

“Mengapa perlu mengganggu UiTM yang sudah berfungsi dengan baik dalam peranannya? Usahlah diganggu gugat status dan kedudukan UiTM.

"Hayati dan hormatilah peranan institusi ini untuk bumiputera dan betapa dekatnya ia dengan orang Melayu.

“Sepatutnya kita harus berbangga dengan apa yang dicapai oleh UiTM sambil terus mendukung kepelbagaian pendidikan kita yang lebih luas,” katanya di TikTok. 

Malah, Dira berpendapat cadangan itu akan mengubah silibus pelajaran atau budaya akademik yang telah lama dilaksanakan. 

Bukan itu sahaja, Dira juga mempersoal mengapa wujudnya cadangan sedemikian setelah UiTM mula dikenali dan telah menempa nama.

Ini kerana pada awal pembukaannya, ia dianggap sebagai universiti kelas kedua dan tidak setanding dengan IPTA yang lain seperti UM dan UKM.

“UiTM telah berjuang untuk membuktikan keunggulannya namun apabila sudah mula dikenali dan dihormati, baru kelihatan seolah-olah ada permintaan untuk membuka pintu kepada mereka selain Melayu atau bumiputera.

“Sedangkan semasa awal digelar institusi, tidak ramai yang memandangnya. Adakah ini benar-benar tentang inklusiviti?” soalnya tegas. 

@diraabuzahar Dalam sibuk beraya, saya nak mencelah ttg ckp2 ttg UiTM. Mohon hadam dan faham sebaik2nya dari sudut apa yg cuba saya sampaikan. UITM hanya untuk Melayu & BUMIPUTERA Malaysia. Fullstop! . #uitmdihatiku #melaka #pendidikanmelayu #uitmselamanya ♬ original sound - YB DIRA ABU ZAHAR

Sebelum ini, pelakon dan model Alicia Amin mempertahankan pendirian bapanya, Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar yang mencadangkan agar kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah.

Alicia berkata, Raja Amin sebagai pengamal perubatan cakna tentang kekurangan doktor dan jururawat di pusat kesihatan kerajaan yang menjadi masalah negara sejak kebelakangan ini. 

 

Sumber: Sinar Harian & TikTok

Destination: