Kabel Bawah Laut Rosak Sehingga Sebabkan Gangguan Internet Di Eropah & Asia, Disyaki Punca Instagram & Facebook 'Down'

TERKINI
March 06, 2024 - 10:48 AM


Semalam, kecoh tentang masalah teknikal yang membabitkan aplikasi media sosial iaitu Instagram, Facebook dan Threads. Kerosakan teknikal tersebut telah menyebabkan ramai pengguna 'log out' dari akaun mereka ecara automatik.

Walau bagaimanapun, tiada penjelasan dari pihak Meta berkenaan dengan hal tersebut. Terkini, terdapat laporan berkenaan dengan kerosakan pada kabel dasar laut di Laut Merah yang dikatakan mengganggu rangkaian telekomunikasi.

Hal tersebut telah memaksa penyedia perkhidmatan untuk mengubah laluan sebanyak satu perempat trafik antara Asia, Asia Barat dan Eropah, termasuk trafik internet.

Difahamkan, kabel milik empat rangkaian telekomunikasi utama telah "dipotong" menyebabkan gangguan "ketara" kepada rangkaian komunikasi di Asia Barat, menurut syarikat telekomunikasi Hong Kong HGC Global Communications.

HGC menganggarkan bahawa 25 peratus trafik antara Asia dan Eropah serta Asia Barat telah terjejas, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu berkata, ia sedang mengubah laluan lalu lintas untuk meminimumkan gangguan kepada pelanggan dan juga "menghulurkan bantuan kepada perniagaan yang terjejas.". Mereka juga tidak menyatakan bagaimana kabel terbabit telah rosak atau siapa yang bertanggungjawab.

Sebagai info, kabel dasar laut adalah kuasa halimunan yang memacu internet, dengan banyak yang dibiayai sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh gergasi internet seperti Google, Microsoft, Amazon dan syarikat induk Facebook, Meta.

Kerosakan pada rangkaian dasar laut ini boleh menyebabkan gangguan internet yang meluas, seperti yang berlaku selepas gempa bumi Taiwan pada tahun 2006.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: