Ketua Pembangkang Korea Selatan, Lee Jae Myung Ditikam Ketika Berucap Di Hadapan Wartawan

TERKINI
January 02, 2024 - 12:30 PM


Pemimpin parti pembangkang Korea Selatan, Lee Jae Myung telah diserang oleh seorang individu lelaki ketika bercakap dengan sekumpulan wartawan di bandar pelabuhan Busan, hari ini.

Melalui rakaman yang disiarkan sebuah saluran televisyen, Jae Myung yang baru sahaja selesai melawat tapak lapangan terbang baharu, diserang seorang lelaki di lehernya ketika beliau sedang berjalan sambil dikerumuni wartawan.

Ketua Parti Demokratik berusia 59 tahun itu dilihat rebah ketika orang ramai bergegas membantunya dengan seorang lelaki menekan sapu tangan di leher yang terkena tikaman.

Ketika kejadian, penyerang tersebut muncul dan meminta autograf Jae-myung yang sedang berjalan ke arah keretanya.

“Penyerang menikam lehernya dengan apa yang kelihatan seperti pisau,” kata seorang saksi kepada saluran televisyen YTN.

Rakaman televisyen menunjukkan anggota polis bergegas menangkap penyerang tersebut yang memakai topi tertera nama Jae-myung. Anggota kecemasan kemudian membawa pemimpin pembangkang itu ke sebuah hospital menggunakan ambulans.

Agensi berita Yonhap melaporkan, Jae-myung mengalami pendarahan tetapi berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: